Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Sejak kebelakangan ini, pemain campuran atau kacukan menjadi perhatian khususnya di negara-negara rantau Asia Tenggara dimana mereka berlumba-lumba untuk mencari pemain yang mempunyai pertalian dan diserapkan untuk beraksi bersama skuad pasukan kebangsaan masing-masing.

Baru-baru ini, penjaga gol yang beraksi di Serie A, Emil Audero mencipta kejutan apabila berjaya menamatkan musim 2018/2019 dengan berada di kedudukan lima teratas dalam senarai penjaga gol yang mencatat paling banyak clean sheets dalam saingan divisyen tertinggi bola sepak Itali itu.

Emil Audero merupakan pemain berdarah kacukan Indonesia-Itali dimana bapa beliau berasal dari Mataram, ibu kota kepada Nusa Tenggara Barat. Emil menyertai akademi Juventus pada umur 8 tahun dan beraksi bersama skuad pembangunan kelab itu untuk 9 tahun berikutnya. Emil menandatangani kontrak profesional bersama The Old Lady pada musim 2015/2016 ketika beliau menginjak usia 18 tahun.

Emil Audero

Sumber Gambar: Juventus

Pengendali Juventus musim lalu, Massimiliano Allgeri beberapa kali memanggil Emil untuk menyertai skuad utama. Penjaga gol berusia 22 tahun itu diletakkan sebagai penjaga gol ketiga dibelakang Gianluigi Buffon dan Neto pada musim 2016/2017. Namun, beliau kerap memanaskan bangku simpanan dan hanya hanya diturunkan dalam kesebelasan utama ketika perlawanan terakhir Liga menentang Bologna pada musim tersebut.

Emil kemudiannya menyertai Venezia yang beraksi dalam saingan Serie B secara pinjaman pada musim 2017/2018. Audero tampil menampilkan persembahan yang baik dimana beliau membantu Venezia mara ke peringkat play-off. Musim berikutnya, Emil menyertai Sampdoria juga sebagai pemain pinjaman.

Bersama Sampdoria, Emil menjadi pilihan untuk diturunkan sebagai penjaga gol utama pasukan. Percaturan pengendali kelab, Eusebio Di Francesco membuahkan hasil apabila Emil merekodkan 11 clean sheets, dimana catatan tersebut menyamai catatan penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny.

Emil Audero Itali

Sumber Gambar: Sportfair.it

Setelah menampilkan aksi yang memberangsangkan dan juga konsisten, Audero dicanang sebagai penjaga gol yang akan beraksi bersama skuad kebangsaan Itali disamping Gianluigi Donnaruma, Alessio Cragno dan Mattia Perin pada masa akan datang memandangkan beliau sudah beraksi bersama skuad B-15 hingga B-21 tahun negara itu.

Jika Audero memilih untuk mewakili Itali, maka pasukan kebangsaan Indonesia boleh melupakan niat mereka untuk memujuk Emil bagi menyarung jersi skuad Garuda.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group