Bekas pengendali pasukan Jepun, Akira Nishino dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand yang baru pada semalam dan akan membimbing skuad Gajah Perang dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 20123.

Nishino yang membimbing The Samurai Blue mara ke peringkat 16 pasukan terakhir dalam temasya Piala Dunia 2018 dilantik bagi menggantikan ketua jurulatih sebelumnya, Milovan Rajevac yang dipecat setelah Thailand beraksi dalam temasya Piala Asia pada awal tahun ini.

Akira Nishino
(AP Photo/Andrew Medichini)

Sebelum dilantik sebagai pengendali Thailand yang baru, jurulatih berusia 64 tahun ini mempunyai pengalaman membimbing skuad bawah 23 tahun Jepun dan beberapa kelab J League. Nishino pernah membawa Gamba Osaka muncul juara saingan J1 League pada 2005 sebelum memenangi Liga Juara-Juara Asia (ACL) tiga tahun kemudian.

Selain membimbing Gamba, Nishino juga pernah menjadi ketua jurulatih bagi Kashiwa Reysol, Vissel Kobe serta Nagoya Grampus. Pencapaian individu bagi Nishino pula adalah beliau pernah memenangi anugerah Jurulatih Terbaik J League sebanyak dua kali selain pernah memenangi anugerah Jurulatih Terbaik oleh AFC.

Akira Nishino
Sumber Gambar: Japan Times

Akira Nishino akan memulakan tugas sebagai ketua jurulatih Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia 2023 yang akan membuka tirainya pada September ini. Tugas berat menanti Nishino kerana Thailand menampilkan persembahan buruk pada dua pertandingan antarabangsa, Piala AFF Suzuki 2018 dan Piala Asia 2019.

Selain membimbing pasukan senior, Nishino turut diberikan tugas untuk menjadi ketua jurulatih bagi skuad bawah 23 tahun Thailand. Kejohanan pertama beliau bersama skuad muda Thailand ialah saingan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.