Malaysia sememangnya merupakan antara negara yang cukup dikenali dalam kalangan peminat badminton di seluruh dunia jika melihatkan kepada pencapaian para pemain negara sejak berpuluh tahun lalu.

Dengan lima kejuaraan Piala Thomas dijulang legenda-legenda dari era 40-an hingga 90-an, hadir pula Datuk Lee Chong Wei dengan pelbagai kejayaan dihadiahkan dan yang terbaharu kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam melonjakkan lagi nama negara dengan menjuarai Kejohanan Dunia 2022.

Selain daripada melahirkan himpunan pemain berkelas dunia yang tidak perlu lagi untuk diperkenalkan, Malaysia juga sebenarnya tidak ketandusan jurulatih tempatan berwibawa.

Hakikat itu nyata tidak boleh disangkal kerana seperti diketahui ramai jurulatih dari Malaysia yang kini sedang berkhidmat bersama skuad kebangsaan di luar negara.

Mari kita kenali barisan jurulatih yang dimaksudkan!

1) Tan Kim Her – Jepun

Bekas pemain negara yang kini berusia 51 tahun itu merupakan jurulatih beregu lelaki skuad kebangsaan Jepun sejak April 2019 dimana beliau berjaya melahirkan juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada 2021.

Malah, sebelum itu beliau turut membimbing dua gandingan mantap dari negara tersebut iaitu Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Kredit Foto: Instagram Peribadi Tan Kim Her

Kim Her juga memainkan peranan penting dalam kebangkitan gandingan Satwiksairaj Rankireddy- Chirag Shetty ketika bersama India bermula 2015 hingga 2019.

Selain India dan Jepun, beliau turut pernah bergelar jurulatih skuad badminton Malaysia sebelum berhijrah ke Korea Selatan pada 20015 dan dua tahun kemudiannya memilih England.

2) Wong Tat Meng – Hong Kong

Tat Meng sebelum ini berjaya menghidu bakat besar dimiliki permata berharga Korea Selatan, An Se Young sehingga menjadikannya sebagai pemain ranking ketiga dunia.

Selepas membawa skuad Korea Selatan muncul juara Piala Uber 2022 dalam kejohanan yang berlangsung di Bangkok, Tat Meng memilih untuk berhijrah ke Hong Kong.

Mahu merasai pengalaman dan cabaran baharu ketika bersama Hong Kong, beliau memberikan tumpuan dalam sektor perseorangan lelaki untuk meningkatkan lagi kemampuan Angus Ng Ka Long dan Lee Cheuk Yiu.

Beliau turut pernah bersama skuad negara bermula 2003 hingga 2011 dan berkelana ke Indonesia (2012) selama setahun sebelum kembali semula ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Fasa kedua bersama Malaysia bertahan sehingga 2016 dan kemudiannya dua tahun mengemudi skuad Scotland sebelum beliau cemerlang di Korea Selatan bermula 2019.

3) Jeremy Gan – Jepun 

Badminton Malaysia
Kredit Foto: Instagram Peribadi Jeremy Gan

Selepas meletakkan jawatan sebagai penolong jurulatih skuad beregu negara, Jeremy Gan melebarkan sayap ke Jepun untuk membimbing pasangan beregu campuran negara tersebut pada Januari 2018.

Impak pantas dapat disaksikan apabila gandingan Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang pada ketika itu merupakan pemain bukan pilihan berjaya muncul juara All England 2018 walaupun hanya berada di bawah kendalian Jeremy dalam tempoh singkat.

Malah, gandingan itu pada ketika ini berada di ranking kedua dunia, ketinggalan 1,800 mata dibelakang pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

4) Lim Pek Siah – Singapura

Badminton Malaysia
Kredit Foto: Singapore Badminton Association

Pek Siah yang pernah bergelar jurulatih skuad badminton wanita Malaysia bermula Mei 2015 hingga Disember 2018 kini berkelana ke Singapura dalam mengembangkan karier kejurulatihannya.

Peningkatan dalam kem badminton Singapura jelas kelihatan selepas anak didik Pek Siah, Terry Hee/Jessica Tan berjaya memenangi pingat emas acara beregu campuran temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Dalam pada itu, beliau dalam usaha untuk terus menggilap bakat gandingan Jin Yujia/Crystal Wong Jia Ying dalam usaha untuk melayakkan pasangan wanita ini ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

5) Choong Tan Fook – Hong Kong

Tan Fook yang berkahwin dengan legenda badminton China, Zhang Jiewen merupakan ketua jurulatih beregu skuad kebangsaan Hong Kong sejak tahun 2014.

Beliau dilihat memberikan fokus kepada pasangan beregu campuran, Tang Chun Man-Tse Ying Suet untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

6) Lee Wan Wah – Jepun B

Wan Wah yang mengecapi pelbagai gelaran bersama Choong Tan Fook ketika bergelar pemain dilantik oleh Park Joo Bong untuk mengendalikan skuad remaja Jepun pada Mac 2019.

Selepas setahun, beliau telah dinaikkan pangkat untuk membimbing sektor beregu campuran kelas B [pemain ranking lebih rendah] buat skuad utama.

Antara pemain yang mendapat bimbingan beliau ialah Kyohei Yamashita-Naru Shinoya, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, Yujiro Nishikawa-Saori Ozaki yang kini sudah berada dalam kalangan ranking 50 terbaik dunia.

7) Salim Samion – Remaja Thailand

Nama beliau mungkin tidak begitu dikenali para peminat, tetapi Salim merupakan jurulatih yang begitu kaya dengan pengalaman dalam mencurahkan ilmu di luar negara terutamanya melibatkan perkembangan akar umbi.

Menjadikan Datuk Misbun Sidek sebagai suri teladannya kerana pernah menjadi pembantu kepada jurulatih legenda tersebut, Salim berkelana ke Eropah untuk bersama skuad remaja kebangsaan Finland pada tahun 2000 hingga 2004 dan kemudiannya berhijrah ke skuad remaja Denmark sehingga 2010.

Ketika bersama Denmark, anak-anak buah Salim berjaya memenangi satu pingat emas dan dua pingat gangsa dalam Kejohanan Remaja Dunia 2010 di Guadalajara, Mexico.

Badminton Malaysia
Salim ketika membimbing skuad kebangsaan Norway.

Meninggalkan Denmark untuk bergelar ketua jurulatih Norway, beliau berjaya membantu Sara Blengsli Kvarno menjadi pemain wanita pertama dari negara tersebut layak beraksi di Sukan Olimpik 2012 di London.

Beberapa tahun selepas kembali ke tanah air, anak kelahiran Ipoh itu dilantik sebagai ketua jurulatih Ukraine selama setahun tetapi peperangan dengan Rusia menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan negara tersebut dan kini bertanggungjawab dalam mencungkil bakat muda dalam skuad kebangsaan Thailand.

8) Iskandar Zulkarnain Zainuddin – Ireland

Selepas menjadi rakan sepelatih Nhat Nguyen sebelum menyertai kejohanan-kejohanan besar, Iskandar telah berjaya menarik minat skuad kebangsaan Ireland untuk menjadi jurulatih walaupun hanya pada usia 31 tahun.

Sehubungan dengan itu, beliau memilih untuk bersara dan secara rasminya bergelar jurulatih skuad kebangsaan Ireland pada Mac 2022.

9) Loh Wei Sheng  – Singapura

Wei Sheng yang dilantik selaku jurulatih perseorangan wanita skuad badminton negara seawal usia 26 tahun itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas empat tahun berkhidmat [2022].

Sehubungan dengan itu, pasukan kebangsaan Singapura tidak menunggu lama untuk membawa masuk beliau dan diumumkan secara rasmi sebagai penolong jurulatih perseorangan pada 6 September 2022 bagi membantu ketua jurulatih, Kelvin Ho Ying Chong.

10) Muhammad Syawal Ismail – Qatar

Bekas pemain perseorangan negara, Muhammad Syawal Ismail yang turut bergelar jurulatih pada usia muda itu telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad badminton Qatar pada September 2021.