Ketua jurulatih pasukan B-22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan kemenangan ke atas pasukan Timor Leste nyata menaikkan semula semangat para pemain bagi menghadapi perlawanan terakhir peringkat kumpulan A temasya Sukan SEA 2019 menentang pasukan Kemboja pada Rabu.

Kim Swee percaya pasukan bimbingannya akan berdepan tugas sukar pada perlawanan menentang Kemboja kerana pasukan lawan turut memburu kemenangan bagi melangkah ke peringkat separuh akhir.

Tambah Kim Swee, beliau mungkin menggunakan pendekatan yang berbeza berbanding tiga perlawanan yang telah dihadapi sebelum ini apabila bertemu Kemboja.

“Walaupun mereka tewas kepada Myanmar (1-2) namun mereka tetap ada peluang sekiranya berjaya menewaskan kami. Jadi, kami perlu gunakan pendekatan berbeza bertemu mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Timor Leste semalam, bekas pengendali pasukan kebangsaan ini mengakui pasukannya bernasib baik kerana jentera serangan pasukan lawan gagal untuk memanfaatkan peluang terhidang.

Beliau turut memuji persembahan yang ditampilkan oleh penjaga gol, Haziq Nadzli kerana berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada pihak lawan.

Dua jaringan penyerang yang berpangkalan di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak, satu jaringan Akhyar Rashid serta satu lagi jaringan sendiri Filomeno Junior Da Costa memberikan kemenangan 4-0 kepada pasukan negara sekaligus menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Baca artikel lain mengenai pasukan B-22 tahun negara dalam saingan Sukan SEA 2019 di sini:

Ramalan Kesebelasan Malaysia Menentang Timor Leste

Adam Nor Azlin Gesa Peminat Henti Lemparkan Kritikan Terhadap Pasukan

Sukan SEA 2019: Ong Kim Swee Anggap Malaysia Masih Ada Peluang Ke Separuh Akhir