Kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah sampai ke kemuncak apabila Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof memutuskan badan induk bola sepak negeri Perak itu digantung selama enam bulan.

Menurut sumber laporan Astro Awani, keputusan itu diambil PJS berikutan terdapat perlanggaran terhadap perlembangaan persatuan dalam mereka membuat keputusan.

Ketidaktentuan dalam kem PAFA jelas kelihatan pada 23 November 2021 selepas pemangku Presiden, Datuk Mohammad Yadzan Mohamed mengumumkan pemecatan 12 ahli gabungan ekoran perlanggaran perlembagaan artikel 80 yang mengatakan tiada ahli gabungan boleh menjadi ahli kepada dua persatuan.

Ahli gabungan yang dimaksudkan ialah Persatuan Bola Sepak (PB) Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian kerana dikatakan menjadi ahli kepada PB Melayu Perak.

Bagaimanapun menurut Ibrahim, pemecatan itu tidak disahkan kerana ia dilakukan secara tidak teratur sekali gus keputusan yang diambil Mohammad Yadzan itu sama sekali tidak mematuhi Perlembangaan persatuan.

“Kita mendapati pemecatan itu dibuat secara tidak teratur, berdasarkan kepada Perlembagaan PAFA. Itu keputusan yang kita dapati dan juga telah dimaklumkan kepada kedua-dua belah pihak.”

Dalam pada itu, usaha ahli gabungan yang dipecat melakukan kongres luar biasa (EGM) pada 19 Disember 2021 juga tidak diiktiraf PJS apabila terdapat masalah teknikal berhubung kelayakan ahli-ahli gabungan.

Difahamkan mereka tidak membayar yuran keahlian PAFA. Oleh disebabkan itu, ahli gabungan tersebut tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang kongres.

Dalam perkembangan sama menurut laporan Berita Harian, Ibrahim berkata notis tunjuk sebab akan dikeluarkan oleh pihaknya dalam tempoh 14 hari dan kemudiannya disusuli pula dengan enam bulan penggantungan bagi membolehkan pemilihan jawatankuasa baharu dilakukan.

Dalam erti kata lain, PAFA perlu segera dalam mengadakan pemilihan untuk memastikan PJS akan menyemak semula tempoh penggantungan dan segera dapat menyelesaikan kemelut yang cukup memalukan ini.

PJS juga dalam pada itu mengesahkan hanya mengiktiraf ahli jawatankuasa PAFA yang dipilih dan diputuskan bagi sesi 2018-2021.