Ketua jurulatih Kemboja, Ryu Hirose nampaknya tidak meletak harapan tinggi dalam perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya apabila menyasarkan untuk mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri malam ini.

Menurutnya, pasukan itu hanya sempat menjalani latihan selama 5 hari sebelum terbang ke Kuala Lumpur dan Hirose yakin pemainnya mampu mempamerkan aksi terbaik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Liga Kemboja baru sahaja habis pada hari Sabtu lalu dan selepas itu kami terus mengadakan latihan pusat di Kemboja sebelum ke sini [Kuala Lumpur]. Ini tempoh persiapan yang agak singkat, tapi kami sudah lakukan persediaan sebaik mungkin.

“Untuk perlawanan malam esok (Hari ini) kami nak pastikan meraih mata dan untuk Piala AFF kami mahu beri saingan terbaik dan cuba melangkah sejauh mungkin di kejohanan itu nanti,” katanya pada sidang media semalam.

Skuad kemboja kali ini diperkuatkan oleh tiga pemain yang pernah beraksi dengan pasukan Liga Malaysia seperti Theirry Chanta Bin (Terengganu), Keo Sokpheng (PKNP FC) dan Boris Kok (Sarawak United).


Perlawanan menentang Malaysia merupakan satu-satunya perlawanan pemanas badan pasukan Kemboja sebelum kejohanan Piala AFF bermula. Ini kerana satu lagi aksi persahabatan yang diaturkan terpaksa dibatalkan atas sebab tertentu.

“Sepatutnya kami ada satu lagi perlawanan persahabatan tetapi tak jadi atas beberapa sebab,” jelas Hirose.

Bagaimanapun, jurulatih dari Jepun itu menyifatkan skuad Harimau Malaya adalah antara pasukan yang kuat di Asia dan semakin bertambah baik sejak dibawah kendalian Kim Pan-gon.

“Pasukan Malaysia sememangnya antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara ini. Kami cuma mahu mempersiapkan pasukan dan belajar sesuatu sebelum ke Piala AFF,” katanya.

Selepas menentang Kemboja di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, mereka akan menentang Maldives bagi aksi persahabatan kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya Kim Pan-gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain yang dibawa ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.