Pasukan Perak menamatkan perjalanan mereka bagi saingan Liga Malaysia musim 2019 apabila tersingkir di peringkat suku akhir Piala Malaysia dimana mereka tewas kepada Selangor dengan keputusan 3-2 secara agregat.

Setelah perjalanan mereka berakhir, teka-teki mengenai masa depan pemain terutamanya beberapa pemain bintang pasukan sama ada mereka akan kekal bersama pasukan pada musim hadapan mula timbul. Salah seorang pemain bintang yang diperkatakan ialah ketua pasukan iaitu Shahrul Saad.

Setelah menampilkan aksi yang memberangsangkan bersama pasukan negara pada saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu, Shahrul mula mendapat perhatian dimana beberapa pasukan besar dalam Liga Malaysia dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

shahrul saad

Sumber Gambar: mStar

Namun, pemain yang mesra dipanggil Badak ini memilih untuk kekal bersama Perak bagi menghadapi saingan musim ini dan beliau dipilih sebagai ketua pasukan oleh ketua jurulatih, Mehmet Durakovic bagi menggantikan Nasir Basharuddin.

Ketika Liga Malaysia semakin hampir untuk melabuhkan tirainya, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan mereka masih lagi belum memuktamadkan kontrak pemain bagi menghadapi saingan musim 2020 dan mereka masih lagi dalam fasa membuat penilaian.

Shahrul Saad

Sumber Gambar: AFF Suzuki Cup

Perkara ini jelas boleh mendatangkan kesan negatif terhadap Perak dimana pasukan itu boleh kehilangan pemain penting seperti Shahrul Saad dan juga pemain lain seperti Brendan Gan, Nazirul Naim, Shahrel Fikri Fauzi dan Hafizul Hakim.

Juara Liga Super musim 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukan yang menduduki tempat ketiga, Selangor dikhabarkan sedang memburu tandatangan Shahrul bagi memantapkan benteng pertahanan pasukan untuk menghadapi saingan musim 2020.

Jika PAFA lambat untuk memuktamadkan kontrak pemain, tidak mustahil Shahrul dan pemain lain akan menyarung jersi pasukan lain musim hadapan.

Baca artikel lain mengenai pasukan Perak di sini:

Masa Depan Mehmet Durakovic Bersama Perak Cetus Tanda Tanya

Pemain Bintang Perak Bakal Tinggalkan Pasukan Musim Hadapan?

Shahrel Fikri Tawar Hati Dengan Perak?

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group