Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali menepis dakwaan bahawa ada pemain kelab tersebut akan meninggalkan pasukan susulan masalah tunggakan dua bulan gaji yang dihadapi sebelum ini.

Menurut sumber Utusan Malaysia, Rizal yang turut bertindak selaku pengurus pasukan menganggap perkara itu sebagai gurauan melibatkan pemain tengah, Kenny Pallraj dan Shakir Hamzah.

Seperti yang tular di media sosial terutamanya laman Instagram, Shakir seringkali menyentuh tentang isu permasalahan gaji sehingga membuatkan para peminat panik dengan keadaan tersebut.

“Kenny sudah menjelaskan kedudukan sebenar perkara ini. Saya cukup kenal dia sejak mengurus pasukan Piala Presiden lagi.”

“Jika dia hendak pergi, dia akan berbincang dengan saya dahulu,” kata Rizal menurut laporan Utusan Malaysia.”

Selain itu, tinjauan yang dibuat wakil Vocket FC ke sesi latihan di Ipoh sebelum pasukan berangkat ke Shah Alam bagi menghadapi Selangor pada malam ini juga memperlihatkan para pemain berada dalam keadaan baik untuk berdepan musuh tradisi tersebut.

“Seperti yang saudara-saudara [wartawan] lihat, semua pemain berada dalam keadaan gembira, riang. Satu kelebihan pemain-pemain Perak ini selalunya apabila mereka masuk beraksi selama 90 minit, mereka akan lupakan segala masalah dihadapi.”

”Untuk menghadapi perlawanan dengan Selangor, satu perlawanan tradisi yang hebat. Jadi, saya cuba untuk memberikan motivasi buat pemain kita untuk memberikan 100 peratus.”

“Mood pemain juga nampak bagus dengan kemenangan bertemu UiTM FC, harap ianya dapat memberikan impak yang positif buat pasukan,” tambah Rizal lagi.

Dalam perkembangan sama, seperti yang dilaporkan sebelum ini tunggakan gaji bagi bulan Februari sudah diselesaikan manakala baki sebulan [Mac] tertunggak sedang diusahakan oleh pihak Perak FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Karakter Pemain Muda TFC Gembirakan Nafuzi Zain

Sabah Nafi Ada Masalah Tunggakan Gaji Selama Tiga Bulan

Licin! Tiket Perlawanan Penang Menentang Sabah Sudah Habis Dijual