Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee menegaskan tempoh persiapan selama tiga minggu untuk menghadapi temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina sudah mencukupi untuk menyediakan barisan yang mantap.

Menurut laporan daripada Bernama, Kim Swee merancang untuk mengadakan kem latihan pusat pada 4 November depan iaitu dua hari selepas perlawanan akhir Piala Malaysia supaya dapat mengumpulkan semua pemain yang tidak terlibat dalam sebarang perlawanan.

Hal ini kerana terdapat pemain muda yang terlibat dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan mereka diberi kelonggaran untuk melaporkan diri pada 20 Nov, iaitu selepas dua aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Thailand pada 14 Nov dan Indonesia (19 Nov).

“Saya percaya bukan sahaja pasukan kita, pasukan lain seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia juga berhadapan dengan situasi sama. Mereka (pencabar utama) juga mempunyai ramai pemain B-23 yang terlibat dengan pasukan senior kebangsaan.

“Jadi saya tidak nampak sebarang isu di sini, di mana masa tidak mencukupi. Pemain mempunyai tiga minggu untuk membuat persiapan, sebelum kita bertolak ke Manila pada 23 atau 24 Nov, kecuali pemain daripada pasukan senior,” katanya.

Datuk Ong Kim Swee
FOTO: NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Senarai awal 40 pemain untuk skuad Sukan SEA 2019 di Filipina sudah pun dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Daripada 40 pemain tersebut, Ong Kim Swee telah menyenaraikan 8 pemain senior kerana format pertandingan membenarkan setiap negara mempunyai dua pemain yang melebihi umur 23 tahun.

Bagaimanapun, Kim Swee belum bersedia untuk mengumumkan senarai akhir pemain yang akan dipanggil ke kem latihan pusat kerana prestasi semasa mereka masih perlu dinilaikan.

Enggan mendedahkan nama pemain tersebut, beliau menyifatkan skuad ini mempunyai peluang yang cerah untuk meraih pingat di temasya Sukan SEA 2019.

“Ini kali kelima saya dalam Sukan SEA, saya percaya setiap kali kita mahu pingat emas. Yang penting kita harus fokus dahulu persiapan kita, biar kita lalui satu perlawanan ke satu perlawanan, sebelum kita memikirkan pingat emas, mahupun layak ke perlawanan akhir,” jelasnya.

Sukan SEA 2019
Malaysia raih pingat Perak dalam acara bola sepak Sukan SEA 2017

FAM juga merancang untuk mengadakan aksi persahabatan pada 21 atau 22 Nov, dan pasukan lawan akan ditentukan kemudian selepas undian Sukan SEA, yang dijadualkan berlangsung di Manila pada hari Selasa ini.

Saingan peringkat kumpulan bagi acara bola sepak lelaki ini akan bermula dari 25 November sehingga 5 Disember. Aksi separuh akhir pula dijangka dilangsung pada 7 Disember sementara penentuan tempat ke-3 dan perlawanan akhir diadakan pada 10 Disember 2019.

Tahukah anda, Malaysia diletakkan dalam balang 2 undian acara bola sepak Sukan SEA 2019. Baca untuk mengetahui lebih lanjut. 

Undian Sukan SEA 2019: Malaysia Diletakkan Dalam Balang 2

Ong Kim Swee Daftarkan 8 Pemain Senior Dalam Senarai Awal Skuad Sukan SEA

Skuad Malaysia B-23 Diletakkan Dalam Kategori A Untuk Sukan SEA

Sumber