Hasrat pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk mengadakan kem latihan pusat pada bulan ini tidak menjadi kenyataan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan ia terpaksa dibatalkan susulan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19.

Perkembangan itu diumumkan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin selepas keputusan telah dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM semalam.

“Mengambil kira pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri semalam, jawatankuasa telah bersetuju dengan keputusan untuk membatalkan kem latihan pusat skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini yang sepatutnya dijadual berlangsung dari 16 hingga 25 Januari 2021.

“FAM akan melakukan perancangan semula bagi persiapan menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac nanti,” kata kenyataan daripada FAM.

136452571_3528695640560508_8684015663895002207_o

FOTO: FAM

Berdasarkan jadual, Skuad Harimau Malaya akan bertemu Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 19 Mac di Manama sebelum menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang UAE pada 25 Mac 2021 di Dubai.

5 hari kemudian, mereka dijadualkan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan ketujuh kumpulan G kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jawatankuasa FAM turut bersetuju dengan keputusan untuk menghantar skuad B-19 kebangsaan beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada November ini dan skuad yang sama juga akan menjadi skuad projek atau pembangunan ke arah Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Skuad B-19 kebangsaan ini juga akan membawa cabaran Malaysia pada Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 yang akan berlangsung hujung tahun ini dan seterusnya dipersiapkan untuk menghadapi Kelayakan Olimpik 2024 Paris.

Bagi Piala Suzuki AFF 2020 yang akan berlangsung pada Disember ini, FAM tetap akan menghantar skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

TMJ Terima Hadiah Jersi Baharu Harimau Malaya Daripada FAM Sebagai Tanda Penghargaan

Ini Reaksi ‘Ekor’ Harimau Malaya Terhadap Jersi Baharu Skuad Kebangsaan Yang Baru Dilancarkan

Ketandusan Aksi Kompetitif, Tan Cheng Hoe Bimbang Pemain Harimau Malaya Lemau

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group