Skuad Harimau Malaya hanya mempunyai tempoh yang singkat untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF yang dijadual berlangsung bermula 5 Disember 2021.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar melalui kenyataan dalam Arena Metro mendedahkan pasukan negara akan berkumpul pada 25 November 2021 selepas tamat saingan separuh akhir Piala Malaysia.

Manakala pemain daripada kelab yang layak ke final Piala Malaysia akan menyertai kem latihan pusat pada 30 November 2021. Ia bermakna pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe cuma mempunyai 11 hari untuk memastikan para pemain cukup bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Pasukan akan mula berlatih pada 25 November selepas habis separuh akhir Piala Malaysia. Pemain yang terbabit dengan aksi final tidak akan menyertai pasukan negara.”Mereka hanya akan sertai pasukan kebangsaan selepas habis Piala Malaysia nanti,” kata Saifuddin.

FOTO: FAM

Malaysia akan berdepan juara bertahan – Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan B yang akan berlangsung di Singapura.

Sementara Kumpulan A pula akan dibarisi oleh juara lima kali – Thailand, Myanmar, Filipina, juara empat kali – Singapura dan pemenang perlawanan kelayakan di antara Brunei dan Timor-Leste.

Skuad negara kemungkinan akan berangkat ke Singapura lebih awal bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan proses kuarantin yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara itu.

“Kita masih berbincang dengan pihak Singapura mengenai pergerakan pasukan, sebab ada yang kata kena berada 10 hari lebih awal daripada perlawanan dan sebagainya. Jadi kita akan dapatkan maklumat itu dan akan menyusun pergerakan pasukan,” jelasnya.

Sepanjang 12 edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali pernah bergelar juara pada edisi 2010 ketika dibimbing Datuk K. Rajagobal dan tiga kali muncul naib juara iaitu pada edisi 1996, 2014 dan 2018.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak

Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya