Jepun kini menyalakan harapan untuk raih tiket ke Piala Dunia 2022 apabila menewaskan pendahulu kumpulan B, Australia 2-1 dalam saingan kelayakan di Stadium Saitama sebentar tadi sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah pasukan itu dalam 11 perlawanan.

Perlawanan ini cukup penting bagi pasukan Jepun kerana mereka memerlukan 3 mata untuk menghidupkan peluang merebut tiket automatik ke Piala Dunia setelah mencatat 2 kekalahan ketika menentang Oman dan Arab Saudi.

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula, pasukan kendalian Hajime Moriyasu itu bermula dengan garang dan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan Australia.

Hasilnya, mereka memperolehi gol pembukaan melalui rembatan  Ao Tanaka seawal minit ke 8 di dalam kotak penalti hasil hantaran cantik daripada Takumi Minamino. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Australia bangkit mengatur serangan dan mereka memperolehi satu sepakan percuma pada minit ke 68.

Ajdin Hrustic mengambil kesempatan menyempurnakan sepakan percuma tersebut dengan rembatan lencong yang terkena palang sebelum masuk ke gawang menewaskan penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda.

Jaringan penyamaan tersebut tidak mematahkan semangat Jepun untuk terus mencari gol kedua walaupun berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Australia yang lebih mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

Bagaimanapun, tuah berpihak kepada pasukan tuan rumah apabila pemain Australia, Aziz Behich melakukan kesilapan dengan menolak masuk bola lambungan Takuma Asano pada minit ke 85 sekaligus menghadiahkan gol kemenangan untuk Jepun.

Australia cuba membantah gol itu dan meminta pengesahan melalui Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana pemain Jepun didakwa berada dalam kedudukan offside. Bantahan tersebut tidak diterima dan pengadil mengesahkan jaringan itu menjadi milik Jepun.

Dengan kemenangan ini, Jepun kini berada di kedudukan ketiga dengan 6 mata dan berpeluang merampas kedudukan dua teratas jika mereka konsisten mengutip 3 mata dalam baki perlawanan yang akan datang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Indonesia Mara Ke Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023, Berpeluang Diundi Satu Kumpulan Dengan Malaysia

Singapura Umum Senarai Awal Skuad Piala Suzuki AFF 2020, Ada Pemain Naturalisasi

Penyokong Thailand Yakin Dengan Kemampuan Alexandre Polking