Pasukan gergasi Asia, Jepun mencuri tumpuan semalam apabila mencatat kemenangan besar ke atas Mongolia, 14-0 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022. Perlawanan itu berlangsung secara tertutup di negara tersebut walaupun Mongolia merupakan tuan rumah.

Aksi kumpulan F itu kembali bersambung pada bulan ini tanpa kehadiran penonton sejak ditangguhkan selama setahun akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

Namun begitu, Jepun tetap menyenaraikan barisan terkuat dengan beberapa pemain yang berpengkalan di luar negara turut menyertai pasukan.

Pesta gol skuad Samurai bermula pada minit ke 13 apabila pemain Southampton, Takumi Minamino melepaskan rembatan cantik di dalam kotak penalti yang mudah menewaskan penjaga go Mongolia.

Kemudian, mereka menambah 4 lagi gol sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Yuya Osako, Daichi Kamada, Hidemasa Morita serta jaringan sendiri daripada pemain tengah Mongolia, Khash-Erdene Tuyaa sekaligus menjadikan kedudukan berubah kepada 5-0.

Memasuki separuh masa kedua, Jepun langsung tidak membuang masa untuk terus menambah gol keenam menerusi Yuya Osako pada minit ke 55. Sho Inagaki kemudian menjaringkan gol ketujuh pada penampilan pertamanya pada minit ke 68.

Mongolia yang dibimbing oleh bekas jurulatih kecergasan Harimau Muda, Rastislav Bozik jelas tidak mampu bersaing dengan kualiti pemain Jepun dan tidak ada satu pun percubaan berbahaya dilakukan oleh jentera serangan mereka.

Tanpa mengambil kira kekuatan lawan, Jepun terus mengganas menambah 7 gol lagi melalui Junya Ito (2 gol), Kyogo Furushashi (2 gol) sebelum giliran Takuma Asano dan Sho Inagaki menjaringkan gol pada masa kecederaan.

Yuya Osako yang beraksi dengan kelab SV Werder Bremen turut melengkapkan jaringan hatrik apabila menjaringkan gol ketiga peribadinya pada minit 90+2.

Keputusan perlawanan itu mencerahkan peluang Jepun untuk menempah tiket ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 apabila mengukuhkan kedudukan teratas kumpulan F dengan 15 mata tanpa kalah dan juga tanpa bolos!

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Asnawi Mangkualam Lakukan Debut, Pemain Indonesia Yang Pertama Beraksi Dalam Liga Korea

Ngo Hoang Thinh Digantung Satu Musim Selepas Mematahkan Kaki Pemain Tengah Vietnam

Junior Eldstal Teruskan Rentak Cemerlang, Berjaya Jaringkan Gol Pertama Dalam Thai League

Syahrian Abimanyu Tingkatkan Tahap Kecergasan, Semakin Hampir Jalani “Debut” Bersama Newcastle Jets