Prestasi pasukan gergasi Asia, Jepun dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 kali ini tidak begitu bagus apabila tewas 0-1 kepada Arab Saudi di Stadium King Abdullah, Jeddah.

Ini adalah kekalahan kedua mereka selepas dikejutkan Oman dengan jaringan yang sama ketika perlawanan pertama bulan lepas. Selepas 3 perlawanan yang diharungi, Jepun hanya mampu menjaringkan 1 gol ke atas China dan kini berada di kedudukan keempat dalam kumpulan B.

Situasi itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong setia Jepun dan mereka meramalkan pasukan itu kemungkinan tidak layak ke Piala Dunia di Qatar tahun depan berdasarkan prestasi semasa.

Malah, nama pengendali skuad Jepun, Hajime Moriyasu kini menjadi ‘trending’ di media sosial kerana para penyokong mahu jurulatih itu dipecat serta-merta.

Dalam perlawanan menentang Arab Saudi semalam, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama. Jepun jelas mengalami masalah ketumpulan penyudah kerana tidak banyak penyerang berkualiti yang mereka ada selepas era Shinji Kagawa dan Keisuke Honda.

Di separuh masa kedua, Arab Saudi bangkit mengandakan asakan dan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila Gaku Shibasaki melakukan kesilapan dengan membuat hantaran ke belakang sehingga memberi peluang kepada Firas Al Brikan untuk menjaringkan gol pertama Arab Saudi pada minit ke 71.

Jepun cuba bangkit mencari jaringan penyamaan, namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Arab Saudi ditambah pula dengan kecemerlangan penjaga gol tuan rumah, Mohammed Khalil Alowais yang cekap menepis beberapa percubaan berbahaya.

Kemenangan tersebut meletakkan Arab Saudi berada di kedudukan kedua kumpulan B belakang Australia dengan 9 mata selepas mencatat 3 kemenangan berturut-turut. Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan akan dapat tiket automatik ke Piala Dunia 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Kelayakan Piala Dunia 2022: Jaringan Minit Akhir China Kecewakan Vietnam

Penyokong Thailand Yakin Dengan Kemampuan Alexandre Polking

Selepas James Rodriguez, Al-Rayyan Tandatangani Pemenang Piala Dunia 2018

RASMI: Singapura Dipilih Sebagai Tuan Rumah Piala Suzuki AFF 2020