Hasrat Vietnam untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 1-3 kepada Arab Saudi pada perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Di separuh masa pertama, Vietnam mengejutkan peminat bola sepak Asia apabila mendahului 1-0 seawal minit ke 3 melalui rembatan padu Nguyen Quang Hai dari luar kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, Arab Saudi bangkit mengatur gerakan namun mereka gagal menemui gol penyamaan disebabkan oleh kecemerlangan penjaga gol pelawat dan ditambah pula dengan ketumpulan penyudah.

Bagaimanapun, situasi berubah pada separuh masa kedua apabila pasukan tuan rumah melancarkan serangan bertubi-tubi sehingga memberi masalah kepada barisan pertahanan skuad kendalian Park Hang-seo.

Lebih malang, Vietnam terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas pemain pertahanan, Do Duy Manh diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana melakukan terjahan keras ke atas penyerang Arab Saudi dalam kotak penalti.

Hasil semakan VAR, pengadil mendapati bola itu terkena tangan Duy Manh sekaligus menghadiahkan sepakan penalti kepada Arab Saudi. Salem Al Dawsari menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke 55.

E-TkrvdVcAgoCbD
Salem Al Dawsari

Park Hang-seo kemudian melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan seorang lagi pemain pertahanan, Tran Dinh Trong bagi menggantikan tempat pemain tengah, Nguyen Tuan Anh untuk bermain secara bertahan.

Namun begitu, percaturan itu tidak mampu menghalang Arab Saudi untuk menambah gol kedua melalui tandukan Yasir Al Shahrani pada minit ke 67.

10 minit kemudian, pengadil perlawanan sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah selepas kapten pasukan, Que Ngoc Hai didakwa mengasari Salem Al Dawsari dalam kawasan kotak penalti.

Kali ini, Saleh Al Shahrani menyempurnakan sepakan penalti dengan gaya ‘panenka’ untuk gol ketiga Arab Saudi sekaligus melemahkan semangat pemain Vietnam.

Arab Saudi juga menggunakan kelebihan fizikal untuk menewaskan barisan pertahanan Vietnam. Berdasarkan statistik, tuan rumah menguasai perlawanan sebanyak 72.1 peratus dan melakukan 21 percubaan ke arah pintu gol pelawat. Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

E-ThawwXIAAKl8V

Selepas ini, Vietnam akan menghadapi satu lagi lawan sukar iaitu Australia yang mencatat kemenangan 3-0 ke atas China manakala Arab Saudi akan bertemu Oman yang turut melakukan kejutan menewaskan Jepun, 1-0.

2 pasukan teratas dalam kumpulan akan dapat tiket automatik beraksi di Piala Dunia 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.Β 

Kelayakan Piala Dunia 2022: Jepun Tewas Mengejut Kepada Oman

Madam Pang Dilantik Sebagai Pengurus Skuad Kebangsaan Thailand

Song Ui-young Pemain Naturalisasi Baharu Singapura