Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Razak percaya skuad Harimau Malaya mampu melangkah jauh dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia kini berada di tangga kedua dalam kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 9 mata selepas mencatat 3 kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand. Skuad negara turut mempunyai peluang untuk menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Justeru itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengaturkan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking 99 dunia iaitu Bahrain bulan Mac depan sebagai persiapan menghadapi UAE dan Vietnam pada 26 dan 31 Mac 2020.

“Prestasi pasukan kebangsaan agak cemerlang pada tahun lepas disebabkan oleh semangat juang tinggi oleh pemain. Jika mereka boleh teruskan prestasi itu, saya percaya tiada apa yang mustahil.

“Saya rasa kita boleh memenangi beberapa perlawanan dan pergi jauh. Bagi saya sendiri, kini berada dalam keadaan baik dan mengalami sebarang kecederaan,” kata Aidil seperti dipetik dalam News Strait Times.

Aidil
Sumber Gambar: FAM

Mengulas mengenai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2020, Aidil mengikuti jelajah pra musim skuad JDT di Dubai, UAE tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi sudah sedia memberikan aksi terbaik.

“Saya tidak mempunyai sasaran khas untuk musim ini. Saya akan melakukan yang terbaik untuk kelab ini.

“Persiapan pra-musim kali ini cukup terbaik dan terima kasih kepada bos kami, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” katanya.

Skuad Harimau Selatan mengakhiri jelajah pra musim di Dubai dengan mencatat 3 kemenangan dan 2 kekalahan.

Sebelum ini, mereka melakar kejutan apabila menewaskan skuad kebangsaan Turkmenistan 2-1, kelab Dibba Al-Fujairah 1-0 dan juara Liga Slovakia 7 kali iaitu MSK Zilina, 2-1.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu bakal memulakan aksi pertama AFC Champions League menentang kelab Jepun yang juga merupakan juara Emperor’s Cup, Vissel Kobe di Stadium Misaki Park pada 12 Februari 2020.

Baca artikel lain untuk mengetahui perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah:

Kuwait Bakal Uji Kekuatan Harimau Malaya Pada Bulan Jun 2020

Yusoff Mahadi Mahu Skuad Harimau Malaya Takluk Asia Tenggara Pada Tahun 2020

Liridon Krasniqi Dilihat Sedang Menjalani Latihan Bersama Pasukan JDT, Sedia Beraksi Untuk Harimau Malaya 2020?