Malaysia membuka kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2022 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Laos 1-0 pada aksi kumpulan J yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia sebentar tadi.

Kemenangan penting yang diraih itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah ketika skuad muda negara itu dilihat bergelut untuk menyajikan aksi terbaik mereka.

Beraksi di atas padang sintetik serta corak permainan bertahan dan agresif yang ditampilkan barisan pemain Laos nyata memberikan kesukaran buat anak buah Brad Maloney untuk memberikan ancaman berbahaya ke kubu lawan.

Ia jelas terbukti apabila walaupun menguasai aksi babak pertama tetapi hanya satu percubaan tepat dapat dijelmakan skuad negara menerusi Luqman Hakim Shamsudin.

Penguasaan permainan dimiliki tidak digunakan sebaik-baiknya oleh barisan pemain tengah yang diketuai Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk melakukan hantaran-hantaran menarik kepada penyerang.

Peluang terbaik skuad negara hadir pada minit ke-37 apabila Luqman meledakkan rembatan dalam kawasan penalti tetapi penjaga gol Laos, Solasak Thilavong cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Percubaan susulan yang dilakukan Muhammad Azam Azmi Murad selepas itu pula sekadar tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.

Kemasukan Quentin Cheng di separuh masa kedua nyata membuahkan hasil selepas tonggak Penang itu pantas membalas kepercayaan Maloney dengan melakukan hantaran lintang cantik yang disudahkan dengan baik oleh Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar membolehkan skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-68.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral pemain negara yang semakin bersemangat untuk menambah jaringan tetapi kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi menghadiahkan kemenangan sulung buat negara.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad negara kini berada di tangga teratas kumpulan J selepas satu lagi perlawanan melibatkan Mongolia dan Thailand yang berlangsung lebih awal berakhir dengan terikat 1-1.

Malaysia akan berhadapan dengan Mongolia pada perlawanan kedua, Khamis ini yang mana perlawanan dijadualkan berlangsung jam 11.00 pagi.