Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar sekali lagi menjadi wira buat skuad negara apabila jaringannya telah menghadiahkan kemenangan 1-0 keatas Mongolia pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2022 Bawah 23 tahun (B-23) yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan berturut-turut dicatatkan setelah skuad negara berjaya menundukkan Laos dengan keputusan yang sama, tempoh hari.

Tiga perubahan dilakukan Brad Maloney bagi menghadapi pasukan tuan rumah selepas membariskan Quentin Cheng, Mohamad Hakimi Abdullah dan Muhammad Hairiey Hakim di kesebelasan utama.

Tekanan tinggi serta provokasi hebat yang diberikan Mongolia terutamanya pada babak pertama sedikit sebanyak menganggangu rentak permainan skuad muda negara.

Bagaimanapun ketika aksi babak pertama memasuki lewat permainan, para pemain negara bangkit dengan memberikan ancaman hebat ke kubu Mongolia yang dikawal Batmagnai Sereekhuu.

Ia dibuktikan apabila Nur Azfar hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-37 apabila percubaan separa voli dilakukannya singgah di palang gol.

Berselang tiga minit kemudian, Nur Azfar menebus kehampaan tersebut apabila beliau berjaya menanduk masuk bola berpunca daripada hantaran tandukan daripada Hairiey Hakim bagi meletakkan Malaysia di hadapan.

Bagai mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Nik Akif Syahiran Nik Mat melakukan percubaan baik ke kubu lawan tetapi rembatannya dinafikan Batmagnai pada minit ke-41.

Corak permainan Mongolia kelihatan sedikit berubah pada separuh masa kedua bagi membolehkan pemain negara lebih menguasai permainan sekali gus berusaha keras untuk melebarkan kedudukan.

Peluang terbaik negara dimiliki pada minit ke-75 tetapi percubaan kaki kanan dari luar kawasan penalti dijelmakan ketua pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi hanya singgah di palang gol.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk membolehkan skuad negara terus berada di tangga teratas kumpulan J dengan enam mata.

Sementara itu, dua lagi pasukan dalam kumpulan yang sama, Laos dan Thailand akan bertemu pada aksi petang ini.

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group