Skuad muda negara sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Mongolia pada aksi sulung Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia sebentar tadi.

Keputusan seri itu sedikit sebanyak telah merencatkan perancangan Hassan Sazali Waras yang mana beliau meletakkan sasaran untuk meraih kemenangan pada aksi bertemu tuan rumah ini.

Malah, laluan yang cukup berliku terpaksa dihadapi oleh pasukan negara untuk layak ke saingan akhir di Uzbekistan nanti kerana selepas ini akan bertemu Sri Lanka (Jumaat) dan gergasi Asia, Korea Selatan pada Ahad.

Skuad negara bermain dengan baik sejak dari awal dengan mendominasi sebahagian besar permainan tetapi kekurangan idea untuk mencipta gerakan berbahaya bagi merobek gawang Mongolia menjadi masalah terbesar buat mereka.

Keadaan itu disulitkan lagi dengan sepakan penalti yang dihadiahkan selepas pengadil perlawanan mendakwa Muhammad Alif Farhan Fauzi melakukan kekasaran dalam kawasan penalti.

Pemain tengah, Buyannemekh Ganbat yang mengambil sepakan pada minit ke-24 tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol negara, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Pemain negara cuba untuk bangkit dengan melancarkan beberapa percubaan tepat tetapi ia masih belum mampu untuk membolosi gawang Mongolis yang dikawal, Gan-Erdene.

Memasuki minit ke-51, Muhammad Aliff Izwan Yuslan mendapat peluang dalam selepas melepasi kawalan dua pemain pertahanan, namun rembatan dilakukannya sedikit tersasar.

Kesilapan itu ditebus Aliff Izwan berselang tiga minit kemudian apabila beliau menyudahkan peluang terhidang susulan ‘cutback’ dilakukan Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal untuk kembali menyamakan kedudukan.

Ketika jentera serangan skuad negara semakin bersemangat bagi memburu jaringan kemenangan yang diharapkan, Mongolia tetap kental bertahan untuk kedudukan terikat itu kekal hingga tamat permainan.