Malaysia segera melupakan keputusan bertemu Guam apabila kembali meraih kemenangan dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 setelah menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 pada aksi ketiga yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor sebentar tadi.

Tidak seperti ketika bertemu Palestin dan Guam yang menyaksikan skuad muda negara gagal untuk mendapatkan jaringan pada separuh masa pertama, Muhammad Arami Wafiy bin Mohamad Zakimi berjaya meletakkan Malaysia dihadapan pada masa kecederaan.

Muhammad Anjasmirza bin Saharudin mengukuhkan kedudukan buat Malaysia pada minit ke-51 tetapi UAE bangkit dengan dua jaringan yang dihasilkan oleh Saeed Amer Mohammad pada minit ke-76 dan kemudiannya Abdulaziz Mohamed Almarzooqi menyamakan kedudukan ketika permainan memasuki minit ke-84.

Muhamad Faris Danish bin Mohd Asrul akhirnya muncul wira apabila jaringannya pada minit ke-93 telah menghadiahkan kemenangan yang cukup berharga buat skuad negara.

Malaysia UAE
Arami Wafiy jaringkan gol pembukaan buat skuad muda negara. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Kemenangan penting tersebut melonjakkan skuad kendalian Osmera Omaro itu ke tangga teratas dengan tujuh mata diraih hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Bagaimanapun, kedudukan tersebut akan berubah sekiranya Indonesia yang cemerlang dengan dua kemenangan sebelum ini dapat menundukkan Palestin, malam ini.

Malaysia hanya perlu menang pada aksi terakhir yang dijadualkan berlangsung pada Ahad nanti bertemu Indonesia untuk melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir pada Mei tahun hadapan.

Meskipun jumlah pasukan yang berbeza bagi setiap kumpulan menyaksikan mata ketika pertemuan menentang pasukan ditangga terbawah tidak akan dikira ia langsung tidak akan mengubah kedudukan sekiranya Malaysia menamatkan saingan ditangga teratas.

Namun, sekiranya tumpas skuad negara masih mampu layak sebagai antara pasukan tempat kedua terbaik.

10 pasukan yang menamatkan saingan selaku juara kumpulan bersama lima naib juara kumpulan terbaik akan layak untuk beraksi di peringkat akhir Piala Asia B-17 2023.