Meskipun berjaya mengutip 3 mata penuh pada aksi pertama kempen Kelayakan AFC B-19 2020, pengendali skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Brad Maloney masih belum berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang kerap melakukan kesilapan mudah.

Dua pemain iaitu kapten pasukan, Mukhairi Ajmal dan Zikri Khalili dibuang padang setelah menerima layangan kad merah daripada pengadil sehingga menyebabkan pasukannya hampir tersungkur ketika lawan mengambil kesempatan dengan menghasilkan empat gol di separuh masa kedua.

Beraksi dengan 9 pemain juga memberi kesukaran kepada skuad negara untuk mengekalkan rentak permainan walaupun segalanya tampak sempurna di separuh masa pertama dengan mendahului 3-0.

“Pemain kami memberi ruang buat lawan untuk mengejar kedudukan. Saya tidak gembira dengan situasi itu tetapi ia boleh berlaku dalam bola sepak.

“Dua layangan kad merah itu bagaikan sesuatu yang buruk akan berlaku kerana ia jelas mengganggu rentak perlawanan apabila terpaksa bermain 10 pemain. Agak sukar menyekat serangan tuan rumah sekali gus mereka berjaya menjaringkan gol hingga hampir mengikat perlawanan kepada keputusan seri,” katanya seperti dipetik dalam Arena Metro.

73274741_2476335975796485_43293257458778112_n
FOTO: FAM

Penjaga gol kebangsaan, Firdaus Irman Mohd Fadhil, mengakui sukar untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi dengan mudah selepas ketiadaan dua pemain utama di atas padang.

Beliau tekad bangkit beraksi cemerlang dalam perlawanan yang seterusnya dan mengambil pengajaran di atas kesilapan yang dilakukannya.

“Bukan senang beraksi dengan sembilan pemain dan saya memerlukan tempoh untuk bertenang tetapi ia menjadi satu pengajaran. Dalam masa sama, pemain lain juga menunjukkan sikap tidak putus asa,” katanya.

Selepas ini, skuad negara akan menentang Brunei pada hari Rabu di Stadium Olimpik Phnom Penh dan tidak boleh tercicir tiga mata penuh bagi menghidupkan peluang memburu tiket beraksi di pusingan akhir kejohanan AFC B-19.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad negara dalam kempen Kelayakan AFC B-19 di Kemboja.

Jaringan Jarak Jauh Luqman Hakim Tarik Perhatian Selebriti Popular Tempatan

Kelayakan AFC B-19: Brad Maloney Senaraikan Tujuh Muka Baharu Dalam Skuad Malaysia B-18

Sumber