Perjuangan skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) dalam kempen Kelayakan AFC B-19 2020 diteruskan malam ini apabila mereka dijadualkan menentang Brunei pada 7.30 malam di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menghadapi lawan tanpa khidmat 2 tonggak utama iaitu Mukhairi Ajmal dan Zikri Khalili yang digantung satu perlawanan setelah menerima layangan kad merah daripada pengadil ketika menentang Kemboja pada hari Sabtu lepas.

Namun begitu, pengendali skuad itu, Brad Maloney tidak begitu risau kerana mereka masih mempunyai pengganti yang boleh diharapkan untuk beraksi di posisi tengah iaitu Firdaus Kaironissam.

73482555_2477427009020715_8450485099912232960_n
FOTO: FAM

Firdaus merupakan tonggak penting yang sering membarisi kesebelasan utama ketika dalam Kejohanan AFF B-19 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos lalu. Beliau baru sahaja pulih daripada kecederaan dan bakal kembali beraksi pada malam ini.

“Setakat ini semuanya bagus. Kami meraih hari tambahan untuk proses pemulihan dan ia baik untuk pasukan. Sudah tentu kami terlepas dua pemain dalam aksi pertama tetapi kami harus hadapinya.

“Mengenai Firdaus, apabila ada yang digantung, setiap pemain memiliki peluang untuk bermain.” katanya dalam Stadium Astro

KELAYAKAN AFC B19-01-01-01-01

Bagi mencerahkan peluang untuk mendapatkan tiket beraksi di pusingan akhir AFC B-19 pada tahun depan, skuad negara tidak boleh tercicir tiga mata penuh ketika menentang Brunei, Kepulauan Mariana dan Thailand sambil menjaringkan lebih banyak gol untuk mendapatkan kelebihan dari segi perbezaan jaringan.

Maloney juga tidak mahu menjadikan padang tiruan sebagai alasan untuk anak buahnya gagal mempamerkan rentak permainan yang diharapkan kerana sedar semua pasukan turut mengalami kesukaran yang sama.

“Itu di luar kawalan kami. Apa yang perlu dilakukan adalah mencuba yang terbaik. Sudah tentu kami lebih cenderung beraksi di atas permukaan padang sebenar tetapi inilah cara kejohanan ini. Kami perlu menyesuaikan diri.” jelasnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad negara dalam kempen Kelayakan AFC B-19 di Kemboja.

Jaringan Jarak Jauh Luqman Hakim Tarik Perhatian Selebriti Popular Tempatan

Kelayakan AFC B-19: Brad Maloney Senaraikan Tujuh Muka Baharu Dalam Skuad Malaysia B-18

Sumber