Hari ini skuad bawah 15 tahun Malaysia (B-15) akan memulakan kempen kelayakan AFC bawah 16 tahun (B-16) 2020 menentang Kemboja di Stadium Nasional, Vientiane, Laos. Ia merupakan langkah pertama skuad remaja itu dalam perjalanan menuju ke Piala Dunia B-17 kerana kejohanan AFC B-16 menawarkan 4 slot ke saingan tertinggi itu.

Kejayaan menjuarai AFF B-15 bulan lalu masih segar dalam ingatan para penyokong bola sepak tempatan dan memberikan sinar harapan terhadap kemajuan program pembangunan akar umbi yang sudah dirangka sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, pengendali skuad itu, P. Maniam mahu anak buahnya segera melupakan semua kejayaan tersebut dan kembali fokus kepada pemburuan tiket ke pusingan akhir kejohanan AFC B-16 tahun depan.

“Sudah tentu memenangi piala (Kejuaraan AFF) akan menambah keyakinan kami yang mana pemain sentiasa yakin dengan diri sendiri.

“Tapi ini pertandingan berbeza dan lawan sudah tentunya tahu kelemahan serta kekuatan kami. Pasukan perlu bermain mengikut cara kami dan fokus untuk saingan ini.

“Kami akan ambil satu perlawanan ke satu perlawanan dan ia bukan soal kami kuat atau tidak. Kami ambil semua aksi adalah sama dan paling penting kekal fokus,” katanya dalam Arena Metro.

70489354_2385367548226662_2890922987786076160_n

Sesi latihan terakhir skuad Malaysia B-15 di Stadium Nasional Vientiane, Laos. FOTO: FAM

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk S. Sivasundram yakin dengan kemampuan pemain berdasarkan prestasi mereka dalam perlawanan persahabatan minggu lepas apabila mereka membelasah Mongolia, 10-0 dan 4-0.

“Keyakinan perlu ada cuma tidak mahu terlalu yakin sampai memandang rendah kebolehan lawan.

“Kita nak menang dengan jaringan besar sebab itu akan memudahkan kita layak ke peringkat seterusnya. Sudah tentu kita mahu menang semua perlawanan,” katanya.

Selepas menentang Kemboja, tuan rumah, Laos menanti mereka pada 20 September sebelum membuat penghitungan dengan pasukan gergasi Asia, Jepun pada 22 September ini di gelanggang yang sama.

Apapun sememangnya tiada istilah rehat buat skuad kebangsaan B-15 ini kerana sejurus selepas pulang dari bertempur di Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 di Kemboja nanti, mereka akan menduduki peperiksaan PT3 hujung September ini.

afcu16-01

Berdasarkan format pertandingan, hanya 11 pasukan yang bergelar juara dalam setiap kumpulan akan layak secara automatik manakala empat naib juara terbaik turut meraih tiket ke pusingan akhir.

Tahun lalu, Malaysia selaku tuan rumah kejohanan AFC B-16 gagal mara ke suku akhir apabila tewas kepada Thailand (2-4) dan Jepun (0-2). Sebelum itu, skuad kendalian Lim Teong Kim mencatat kemenangan besar ke atas Tajikistan, 6-2.

Imbas kembali prestasi skuad Malaysia B-15 ketika dalam kejohanan AFF B-15 bulan lepas.

Tandukan Nabil Qayyum Pastikan Malaysia Juara AFF B-15

Australia Tewas Mengejut Ditangan Anak Buah P. Maniam

AFF B-15: Malaysia Gah Benam Vietnam Untuk Mara Ke Perlawanan Akhir

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group