Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan terdapat jurang yang besar diantara pasukan Liga Super dengan Liga Premier apabila mudah menewaskan TRW Kelantan, 3-0 pada perlawanan pertama suku akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Dalam perlawanan ini, Harimau Selatan bermula garang dan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan tuan rumah. Kelincahan Arif Aiman kerap memberi masalah dan membuka ruang kepada Bergson dan Syafiq Ahmad untuk memburu jaringan pertama.

Bermula pada minit ke 7, JDT memperolehi 3 peluang terbaik untuk menjaringkan gol pembukaan menerusi Leandro Velazquez dan Bergson namun semua percubaan mereka tersasar.

Pada minit ke 29, Bergson akhirnya memecahkan kebuntuan apabila menanduk masuk sepakan penjuru Leandro sekaligus membuatkan 20,000 penyokong TRW Kelantan yang memenuhi setiap penjuru stadium tergamam seketika.

Tersentak dengan jaringan tersebut, TRW Kelantan cuba bangkit mencari gol penyamaan namun masalah ketumpulan penyudah menjadi penghalang utama dan mereka juga gagal menembusi benteng pertahanan JDT yang dikawal oleh dua pemain tempatan, Shahrul Saad dan Feroz Baharuddin.

Bagaimanapun, 5 minit kemudian, Syafiq Ahmad dengan tenang menambah gol kedua untuk JDT selepas menanduk masuk hantaran cantik dari tengah padang yang dilakukan oleh Afiq Fazail.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh TRW Kelantan selepas itu dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua menyaksikan perlawanan mula menjadi tegang dan lebih banyak kad kuning dilayangkan kepada pemain JDT akibat melakukan kekasaran terhadap pemain TRW Kelantan.

Kemasukan Fernando Forestieri pada minit ke 68 bagi menggantikan tempat Syafiq Ahmad banyak membantu merancakkan lagi perlawanan dan memaksa benteng pertahanan TRW Kelantan bekerja keras mengekang kemaraan pemain itu.

Hasilnya, Leandro Velazquez berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke 73 menerusi rembatan dalam kawasan kotak penalti selepas mengelecek beberapa pemain pertahanan tuan rumah.

Namun begitu, dua minit kemudian skuad Harimau Selatan terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain apabila Afiq Fazail dilayangkan kad kuning kedua kerana didapati membentes kaki pemain lawan.

Walaupun kekurangan pemain, ia tidak menjejaskan corak permainan JDT dan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan skuad kendalian Hector Bidoglio itu membawa bekalan selesa untuk pertemuan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 November ini.