Teka-teki mengenai pemain bola sepak tempatan yang ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan yang berusia 18 tahun akhirnya terjawap apabila Kelantan United mengesahkan salah seorang pemain mereka iaitu Fakhrul Zaman adalah individu yang dimaksudkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab, Kelantan United memberi sepenuh kepercayaan terhadap pihak polis bagi menjalankan siasatan.

“Kelantan United sedia maklum dengan dakwaan yang tular dan mengesahkan kes yang disabitkan dengan pemain kami, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi.

“Pihak kelab memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan menunggu laporan penuh berkenaan kes yang didakwa terhadap pemain tersebut.

“Kelantan United sentiasa mendukung undang-undang negara dan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan
tidak bermoral oleh mana-mana pihak di dalam kelab.

“Bagaimanapun, Kelantan United tetap berpegang pada prinsip “seseorang itu masih tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah. Maka setelah berjaya dibuktikan satu tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak.

“Justeru itu, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi direhatkan dari menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier sehingga dimaklumkan kelak,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Operasi pasukan, Wan Mohd Zul Ikman.

Pemain berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kelantan pada malam Ahad lalu selepas pihak Polis menerima laporan yang dibuat oleh mangsa.

“Dalam laporan dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya sebuah kampung di Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada 12.30 tengah hari Ahad lalu.

“Mangsa mendakwa didatangi suspek (pemain bola sepak tempatan) yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.

“Dia (mangsa) cuba melawan dan menjerit namun ketika kejadian tiada ahli keluarga dan dia yang tidak berdaya akhirnya dirogol suspek,” kata Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Pemain Bola Sepak Tempatan Ditahan Kerana Rogol Remaja Perempuan

Liridon Krasniqi Sedih Digugurkan Daripada Skuad Akhir Harimau Malaya

Ejen Dedahkan Tiada Tawaran Rasmi Untuk Dapatkan Faisal Halim