Kelab Bolasepak Kelantan United (KUFC) menegaskan mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh bagi mengharungi baki saingan Liga M3 musim ini.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pasukan kendaliannya mengamalkan konsep berjimat cermat dalam berbelanja bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah kewangan seperti yang terjadi kepada pasukan negeri mereka ketika ini.

Kelantan United
Sumber Gambar: Kelantan United

“Kita pun sedari bahawa menguruskan pasukan bola sepak perlukan sumber kewangan yang besar dan kukuh dalam menggerakan pasukan.

“Sebab itu kita belanja ikut kemampuan dengan prinsip ukur baju dibadan sendiri. Kalau ikut nafsu kita teringin nak jadi macam Johor Darul Ta’zim dengan bawa masuk pemain-pemain yang hebat,” katanya menurut laporan Utusan.

Tambah Datuk Che Abdullah, Kelantan United bercita-cita untuk melangkah jauh dan beraksi dalam saingan Liga Perdana pada musim hadapan. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa pemain berpengalaman yang sudi untuk beraksi bersama KUFC meskipun mereka beraksi dalam saingan Liga M3.

Daudsu Jamaluddin
Sumber Gambar: Kelantan United

Baru-baru ini, KUFC membawa masuk bekas ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi untuk memperkuatkan lagi pasukan khususnya di bahagian tengah.

Selain Piya, Kelantan United turut membawa masuk beberapa pemain berpengalaman antaranya Mohd. Nizab Ayub (Perak), Mohd. Azrean Aziz (T-Team), Wan Mohamad Ridhwan Deraman (Kelantan) dan Mohd Ainan Yusoff (Piala Presiden Kelantan). KUFC turut membawa masuk pemain import dari Gambia iaitu Alfusainey Gassamu.