Pasukan yang berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Kelantan United FC (KUFC) mengorak langkah ke hadapan apabila memperkenalkan logo baharu yang lebih kemas di media sosial rasmi semalam.

Ia adalah sebahagian daripada langkah penjenamaan semula kelab tersebut bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2023.

Skuad ‘The Green Deer’ ini tampil dengan rekaan logo berbentuk perisai serta menggunakan haiwan Kijang sebagai simbol utama yang cukup sinonim dengan negeri Kelantan.

Selain itu, terdapat juga sebiji bola sepak berwarna emas di bahagian kanan atas untuk menunjukkan maksud kelab bola sepak profesional.

Logo itu turut diserikan dengan warna merah dan hijau. Ia adalah warna yang dipilih sebagai identiti kelab. 

Sebelum dijenamakan kepada KUFC, kelab ini menggunakan nama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan atau nama singkatannya, MPKB-BRI Ubes FC.

Logo baharu ini akan digunakan pada jersi rasmi Kelantan United dalam saingan Liga Malaysia 2023 serta semua barangan cenderamata di bawah jenama kelab tersebut. Pasukan itu dikendalikan oleh ketua jurulatih baharu dari Republik Czech iaitu Tomas Trucha.

Persediaan KUFC bagi menghadapi musim baharu juga cukup rancak apabila mengumumkan kemasukan bekas pemain TRW Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.

Kepulangan pemain digelar lagenda Kelantan ini sudah pasti khabar gembira buat penyokong Kijang Hijau selepas kali terakhir menyarung jersi Kelantan pada 2017.

Pengalaman Indra yang menjadi tonggak utama Kelantan merangkul ‘treble’ pada 2012 sudah pasti ditagih untuk menaikkan lagi kedudukan KUFC yang menamatkan saingan Liga Perdana 2022 di tangga kelima.

Selain Indra, KUFC turut menyambar pemain ‘jiran sebelah’, Kelantan FC, Abdul Latiff Suhaimi bagi memperkuatkan bahagian pertahanan pasukan.

Turut tersenarai, pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA) Syazwan Zainon dan pertahanan Melaka United (MU), Muhammad Fauzan Fauzi yang berpengalaman membuat 13 penampilan dalam saingan liga super.