Perlawanan Liga Super 2023 antara Kedah Darul Aman (KDA) menentang Kelantan FC di Stadium Darul Aman malam ini dijangka berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan enggan kehilangan 3 mata penuh.

Ini merupakan perlawanan yang cukup penting bagi pemain Kelantan kerana kemenangan akan membantu mereka mendapatkan gaji penuh selepas dipotong sebanyak 50 peratus.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai ZamSaham sebelum ini menuntut para pemain mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya Liga Super musim ini sebagai syarat untuk mendapat gaji penuh.

Beliau berkata demikian kerana tidak puas hati dengan prestasi pasukan itu yang hanya mampu raih satu kemenangan selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Super.

Disebabkan itu, gaji pemain terpaksa dipotong 50 peratus sekaligus menimbulkan pelbagai kritikan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Jelas ZamSaham, beliau akan membayar gaji penuh dan juga bonus KPI sekiranya dapat memberikan dua kemenangan bagi aksi berikutnya.

“Pasal pemain kena potong 50% dan tak dapat KPI. 10 kali kalah, satu kemenangan dan satu seri. No.13 dalam liga. Nak KPI penuh? Nak gaji penuh?”

“Berikan saya dua kemenangan dan 50% yang ditahan akan dibayar penuh. Anda ada komitmen dan saya juga ada komitmen. Berikan saya prestasi. Pekerja baik kita kekalkan. Mana prestasi buruk, kita buang,” katanya menerusi laman facebook.

Bagaimanapun, Kedah juga enggan memberi laluan mudah kepada Kelantan kerana mereka juga memerlukan kemenangan untuk melonjakkan kedudukan liga ke tangga keempat.

Berdasarkan kedudukan terkini, Kedah berada di tangga kelima dengan 19 mata selepas mencatat 6 kemenangan dalam 10 perlawanana.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, skuadnya tidak sesekali akan mengambil mudah pada aksi di laman sendiri walaupun Kelantan berada di tangga tercorot liga.

“Kita tidak boleh anggap mudah berdasarkan kedudukan Kelantan ketika ini kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri dan mampu melakukan kejutan.

“Jika kita pandang mudah dan leka, kita boleh dihukum. Jadi, kita perlu beri aksi yang terbaik seperti apa yang dirancangkan dan perlu elak dari melakukan kesilapan mudah,” katanya.