Demi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan, sebuah syarikat swasta sah mengadakan satu usaha sama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini mulai musim 2019.

Perjanjian usaha sama itu telah diselesaikan petang tadi diantara Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW Sdn Bhd) di Kuala Lumpur secara tertutup dan Ahli Lembaga Pengarah KRW Sdn Bhd terdiri daripada barisan pelabur-pelabur dan juga pihak pengurusan tertinggi KAFA.

Tujuan utama usaha sama ini adalah terarah kepada menwujudkan sebuah organisasi pengurusan profesional bukan sahaja dalam aspek bola sepak itu sendiri, tetapi juga merangkumi bahagian pengurusan dana kepada pasukan Kelantan seluruhnya serta memastikan urusan berkaitan dengan penajaan pasukan diambil cakna dengan lebih komersil dan sempurna.

Dari segi struktur pengurusan dalam usaha sama ini pula, KRW Sdn Bhd akan ditadbir oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang dilantik bagi memastikan segala urusan operasi syarikat serta perjalanan pasukan bola sepak Kelantan berjalan dengan lancar.

Musim 2019 ini pasukan Kelantan akan beraksi dalam saingan Liga Premier dan VocketFC diberitahu matlamat utama pasukan tahun ini adalah untuk menstabilkan kewangan pasukan disamping fokus untuk skuad untuk kembali dalam saingan unifi Liga Super 2020.

Berkenaan dengan nama pasukan Kelantan pula, ramai yang menjangkakan akan ada perubahan selepas usahasama diantara KRW Sdn Bhd dan KAFA dimeterai. Namun, mengikut maklumat yang diterima nama pasukan akan kekal menggunakan Kelantan FA tanpa sebarang perubahan.

Persoalan mengenai kedudukan presiden KAFA, Bibi Ramjani pula tidak terjejas dan masih kekal menerajui organisasi KAFA tanpa campur tangan dari pihak KRW Sdn Bhd.

Melalui usaha sama ini juga, fokus kedua-dua belah pihak akan lebih mudah diselaraskan tanpa gangguan untuk mengembalikan aura bola sepak Kelantan yang dilihat sedikit pudar kebelakangan ini.