Pasukan Kelantan kembali dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas MyInspiration Sdn Bhd membatalkan perjanjian dengan badan induk tersebut melalui Kelantan Red Warriors (KAFA) Sdn Bhd baru-baru ini.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah berkata walaupun KAFA ketika ini sedang mengalami masalah kewangan yang serius, namun perkara tersebut tidak menjadi halangan untuk KAFA bagi memastikan Kelantan terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Tenat atau tidak (kewangan) ia bukan isu. Ini soal tanggungjawab KAFA terhadap bola sepak Kelantan. Kami tidak akan lari dari tanggung jawab.

“Kami sentiasa terbuka dan amat menyambut baik usaha untuk bantu KAFA. Hal ini kerana kita sedar masyarakat Kelantan sayangkan TRW,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Affandi turut mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu membantu dalam meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh KAFA.

“Kita terbuka menerima sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang ingin tampil membantu Kafa hingga kita setuju tandatangan perjanjian dengan pihak berkaitan.

“Dengan perkembangan terkini (penamatan kontrak) ini, maka Kafa akan teruskan tanggungjawab sebagaimana biasa,” tambahnya.

Sebelum ini, kelab penyokong Kelantan berminat untuk menguruskan pasukan setelah MyInspiration membatalkan perjanjian dengan KAFA. Kelab peminat berpendapat mereka juga mampu untuk menguruskan serta tahu selok-belokpasukan kerana sudah lama menyokong bola sepak Kelantan.

Apa yang pasti, KAFA perlu segera mencari jalan penyelesaian agar mereka tidak ditimpa nasib seperti pasukan Perlis Northern Lions yang disingkirkan dari saingan Liga Perdana musim ini.