Semalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada 11 bekas pemain dengan keseluruhan berjumlah RM187,778.92.

“Tuntutan pengadu telah diterima sepenuhnya dan Persatuan Bolasepak Kelantan dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada (pemain) tertakluk kepada potongan wajib pendapatan,” kata kenyataan daripada Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub.

Antara pemain yang terlibat ialah Mohd Fauzi Roslan (RM63,628.18), Muhammad Zulfahmi Awang (RM50,000.00), Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99), Wan Mohammed Afiq (RM21,000.00), Mohamad Azzrie Aripin (RM4,075.00), Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877.00), Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681.00), Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279.00), Muhammad Fikri Hakim (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681.00) dan Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25).

Sekiranya KAFA gagal melunaskan tunggakan gaji kepada 11 bekas pemain tersebut, skuad Kelantan FC akan dikenakan hukuman pemotongan 3 mata dalam saingan Liga Premier musim ini.

Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerusi satu kenyataan dalam BERNAMA hari ini.

“Walaupun proses pemisahan status daripada persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak sudah selesai, tindakan masih boleh diambil ke atas mana-mana pasukan kerana isu ini melibatkan kebajikan pemain,” jelas Stuart kepada Bernama.

FOTO: FAM

Kelantan pernah dipotong tiga mata dalam saingan Liga Premier pada musim lalu susulan kegagalan KAFA menjelaskan tunggakan gaji kepada beberapa pemain pasukan berkenaan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Sebelum ini, Kelantan FC dibawah pengurusan Norizam Tukiman sudah pun menyelesaikan tunggakan gaji pemain import terdahulu, Cassio Francisso sekali gus disahkan bebas daripada sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebagai rekod, Kelantan FC sudah melunaskan tunggakan gaji Cassio dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM612,632.50 menerusi empat kali pembayaran.

Pembayaran pertama pada 9 September lalu membabitkan pembayaran sebanyak RM105,000 manakala kedua pada 13 September (RM189,000) dan terakhir pada 15 serta 17 Disember lalu membabitkan RM30,487.59 dan RM288,145.

Selain itu, mereka turut mengumumkan sudah melunaskan tunggakan gaji seorang lagi bekas pemain import skuad The Red Warriors (TRW), Abou Bakr Al Mel.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Stadium MBPJ Jadi Gelanggang Rasmi Selangor FC Selama 3 Tahun

Nasib JDT Dalam Saingan AFC Champions League Diketahui Pertengahan Bulan Ini

CEO KDA FC Nafi Bakal Dapatkan Khidmat Mohamadou Sumareh