Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin mengumumkan bahawa Persatuan Bolasepak Kelantan (PB Kelantan) telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Premier 2020 atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan oleh mereka bagi kes yang telah pun diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara ‘teleconferencing‘ bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain, hari ini.

Pada mesyuarat tersebut, empat kes telah dibincangkan iaitu membabitkan pasukan Persatuan Bolasepak Melaka (PB Melaka), Persatuan Bolasepak PDRM (PB PDRM), Persatuan Bolasepak Sarawak (PB Sarawak) dan PB Kelantan.

Berhubung kes membabitkan PB Kelantan, pasukan tersebut pada tarikh akhir bayaran ansuran pertama dan kedua iaitu pada 31 Januari 2020 dan 29 Februari 2020 telah berjaya membuat bayaran mengikut pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

Bagi baki tunggakan yang belum diselesaikan mengikut ketetapan yang disediakan, PB Kelantan telah diberi sehingga tarikh akhir bayaran ketiga iaitu pada 30 April 2020 untuk menyelesaikan tunggakan.

Sekiranya PB Kelantan gagal berbuat demikian, ia boleh mengakibatkan tindakan pemotongan tiga mata dikenakan.

Walau bagaimanapun, setelah mengambil kira situasi semasa akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), FIB Pelesenan Kelab FAM telah membuat keputusan untuk melanjutkan masa sehingga 30 Julai 2020 untuk PB Kelantan menyelesaikan bayaran tunggakan gaji/elaun pegawai/pemain.

Namun sehingga 30 Julai 2020, tiada sebarang pembayaran baki yang masih tertunggak dibuat oleh pasukan PB Kelantan seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM.

Walau bagaimanapun, PB Kelantan telah menghantar surat kepada FAM bertarikh 30 Julai 2020 dengan permintaan kelonggaran dan lanjutan masa sehingga tamat musim 2020.

Sehubungan itu, FIB Pelesenan Kelab FAM telah membuat keputusan untuk kekal dengan tarikh akhir seperti yang ditetapkan dalam surat bertarikh 8 Julai 2020 dan peringatan melalui e-mel bertarikh 27 Julai 2020 kepada PB Kelantan untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji/elaun pegawai/pemain iaitu pada 30 Julai 2020.

Oleh itu, PB Kelantan telah didapati gagal untuk menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga (3) mata.

FAM akan memaklumkan segera kepada badan pengendali Liga Premier iaitu Malaysian Football League (MFL) bagi pelaksanaan pemotongan tiga (3) mata berkenaan.

FIB Pelesenan Kelab FAM juga telah memberikan tempoh sehingga 31 Ogos 2020 kepada pasukan PB Kelantan untuk mengemukakan penyelesaian tunggakan gaji pemain dan pegawai sekiranya ada tunggakan sebelum 30 Jun 2020 untuk memenuhi syarat pelesenan kelab untuk tahun 2020. Jika gagal, mereka mungkin tidak akan mendapat lesen kelab tahun ini untuk bertanding di Liga Malaysia 2021.

Sementara itu, bagi pasukan PB PDRM yang sebelum ini telah dipotong tiga (3) mata pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020, pasukan ini telah mula menunjukkan pergerakan positif dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka berbanding sebelum ini dan hanya mempunyai satu kes di tahap Rayuan pada masa ini.

Bagi pasukan PB Melaka pula yang sebelum ini telah dipotong tiga (3) mata selepas tarikh akhir kedua bayaran ansuran tunggakan 2019 pada hujung Februari 2020, FAM masih memantau pelan pembayaran yang telah dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka bersama pemain dan pegawai terlibat yang mana ketika ini masih berjalan lancar.

Pasukan PB Sarawak pula masih hanya mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), sama seperti pasukan PB Kelantan, PB PDRM dan PB Melaka yang turut mempunyai tunggakan hutang dengan agensi-agensi kerajaan ini sama ada LHDNM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Mengikut Peraturan Pelesenan Kelab FAM, tunggakan hutang-hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO mesti dilunaskan dengan pembayaran atau rancangan penyelesaian menjelang 31 Ogos 2020.

Jika pembayarannya belum diselesaikan, maka ia akan dibawa untuk penilaian FIB Pelesenan Kelab FAM bagi mendapatkan Lesen Kelab bagi tahun 2021.

Untuk itu, FAM sekali lagi menasihatkan dan pada masa yang sama memberi amaran kepada pasukan-pasukan ini supaya bersikap serius dalam menyelesaikan pembayaran ansuran tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai serta tunggakan hutang kepada LHDNM, KWSP dan PERKESO ini mengikut tarikh yang ditetapkan.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kamiĀ  sediakan untuk anda.

Suphanat Mueanta Genap 18 Tahun, Rekodkan 12 Jaringan Dalam 50 Penampilan, Penjaring Termuda AFC Champions League

Omar Raiyan Tersenarai Dalam Skuad B-17 Red Star Belgrade Hadapi Musim 2020/2021

Malaysia LNG Pernah Muncul Selaku Penaja FC Tokyo, Tidak Ramai Peminat Bola Malaysia Tahu