Usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mendapatkan lesen bagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan menemui titik terang apabila mereka diberikan lesen bersyarat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara itu, selain Kelantan, Sarawak turut mendapat lesen bersyarat bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Perdana.

“Dalam kes Kelantan FA dan Sarawak FA, lesen kebangsaan diberikan dengan bersyarat disebabkan beberapa jaminan yang diperlukan daripada pihak ketiga.

“Kedua-dua pasukan telah mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jaminan untuk semua perkara yang tertunggak dan akan dipantau untuk memastikan semua jaminan itu dipenuhi. Jika ada yang gagal, lesen kebangsaan mereka boleh dibatalkan,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Tambah Stuart, pasukan di atas perlu menyediakan Surat Akuan Berkanun pada 15 Disember 2019 untuk mengisytiharkan bahawa jika mereka mempunyai sebarang bayaran tertunggak pada tarikh berkenaan dan pelan untuk melunaskan hutang-hutang tersebut.

Perkara ini ditekankan bagi memastikan tiada sebarang tunggakan dari 2019 yang akan dibawa ke musim 2020.

Pasukan lain yang mendapat lesen ialah UKM FC, Selangor United, PDRM dan Pulau Pinang yang diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat sebelum ini, mereka kini telah pun berjaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Sebelum ini, Kelantan berisiko tidak mendapat lesen kerana mereka sedang berdepan masalah kewangan yang kritikal setelah bekas pemain import pasukan, Morgaro Gomis membawa isu tunggakan gaji kepada pengetahuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Baca artikel lain mengenai pasukan Kelantan yang telah kami sediakan di sini:

Kelantan Berdepan Kesukaran Dapatkan Lesen, Berisiko Turun Pangkat Ke Liga M3 Musim Hadapan

Indra Putra Semakin Hampir Kembali Sarung Jersi Kelantan

Mat Sabu Dilantik Sebagai Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).