Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-13 bagi penggal 2017-2021 pada 3 Mac 2020 (Selasa) telah mencapai keputusan terhadap 10 kes melibatkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Menurut kenyataan daripada Pengerusi Jawatankuasa Status FAM iaitu Mohd Joehari Ayub, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dikehendaki membayar tunggakan gaji sebanyak RM167,304 kepada bekas pemain pertahanan, Amirizdwan Taj Tajudin.

Malah, bekas pegawai, Mohd Hisham Jainudin turut membuat tuntutan terhadap KAFA dan FAM memutuskan KAFA perlu membayar tunggakan gaji sebanyak RM11,166 tertakluk kepada potongan wajib pendapatan.

Selain Kelantan, PDRM dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) turut diarahkan membayar tunggakan gaji yang berjumlah lebih RM100,000 kepada pegawai mereka.

PDRM dikehendaki membayar tunggakan gaji sebanyak RM26,000 kepada bekas pemain skuad kebangsaan, Liew Kit Kong, bekas jurulatih musim lalu, E. Elavarasan (RM60,000) serta jurulatih penjaga gol, Wan Mustaffa Wan Ismail (RM43,000)

Manakala, PFA dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada 4 bekas pegawai tertakluk kepada potongan wajib pendapatan dan pampasan baki kontrak seperti jumlah dinyatakan di bawah:

i) Mohd Faizal Mohd Esahar (RM24,000 tunggakan gaji & RM120,000 pampasan baki kontrak)

ii) Mohd Hisham Jainudin (RM21,000 tunggakan gaji & RM55,741.95 pampasan baki kontrak)

iii) Ahmad Nizan Ariffin (RM21,000 tunggakan gaji & RM154,000 pampasan baki kontrak)

iv) Kamal Daut (RM18,000 tunggakan gaji & RM132,000 pampasan baki kontrak)

Baca artikel mengenai isu tunggakan gaji dalam bola sepak Malaysia yang pernah dilaporkan sebelum ini:

Isu Tunggakan Gaji Terus Menghantui Terengganu FC

Tunggakan Gaji: Patrick Cruz Ugut Heret Pahang FA Ke FIFA

Shukor Adan Serah Afidavit Tuntutan Hak Gaji Kepada FAM