Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Kehangatan musim baharu Liga Premier Malaysia 2022 semakin terasa apabila pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) sudah mengeluarkan jadual penuh untuk musim ini.

Antara pasukan yang menjadi pilihan menjuarai Liga Premier 2022 adalah Kelantan FC yang sudah memasuki musim kedua diterajui ahli perniagaan, Norizam Tukiman yang dilihat bijak menguruskan kewangan kelab.

The Red Warrior dengan sentuhan Ketua Jurulatih Rezal Zambery Yahya pastinya sudah tidak sabar memulakan kempen liga dan para penyokong Kelantan juga jelas teruja dengan perkembangan positif pasukan yang pernah menjadi kuasa besar bola sepak tempatan itu.

Penyokong Kelantan sememangnya terkenal dengan semangat fanatik dan berjaya memerahkan segenap stadium di pelusuk negara memberikan sokongan apabila Kelantan bermain.

Bukti awal keterujaan penyokong Kelantan ini adalah apabila dalam masa dua hari, jualan pas bermusim TRW kini berjaya mencecah kutipan hampir RM1.3 juta berdasarkan hantaran di laman sosial rasmi kelab.

Kelantan FC mengkhususkan 5,480 kerusi untuk pemegang pas bermusim dan kini semakin hampir habis. Ini adalah antara cara terbaik buat sebuah kelab menjana pendapatan selain jualan jersi yang pastinya akan laris umpama pisang goreng panas.

Dijual pada harga bermula dari RM250 hingga RM4,000 pelbagai kemudahan dan faedah akan diperolehi oleh pemegang pas bermusim TRW seperti penginapan percuma di rangkaian hotel Zamburger di dalam negara dan luar negara.

Selain itu, pelbagai cenderahati dan diskaun menarik bakal dinikmati serta burger percuma ketika hari perlawanan. Ini adalah antara tarikan utama para penyokong untuk mendapatkan pas bermusim yang terhad ini.

The Red Warrior juga kita sedang giat melengkapkan pasukan dengan baru-baru ini mereka mengumumkan menandatangani tiga pemain antarabangsa dan 17 pemain tempatan serta mengekalkan beberapa pemain dari skuad 2021.

Pastinya para pemain Kelantan FC akan lebih bersemangat dengan perkhabaran menarik dari para penyokong yang jelas menunjukkan kesetiaan meskipun musim belum bermula. Tahniah Kelantan. Gomo Kelate Gomo.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Ronaldo: Rangnick Perlu Masa Untuk Pertingkatkan Prestasi Man Utd

Kurniawan Berkelana Ke Itali, Jadi Penolong Jurulatih Kelab Serie B

Piala Carabao: 10 Pemain Arsenal Ikat Liverpool Di Anfield

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group