Kelab liga divisyen utama Thailand (Thai League 1) bakal menghadapi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu bagi menamatkan musim 2020 atas permintaan daripada pemegang hak siaran liga tersebut, TrueVisions.

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Somyot Poompunmuang berkata dalam Bangkok Post, mereka kini sedang mencari penyiar lain kerana mempunyai masalah dengan permintaan TrueVisions yang mahu saingan liga musim ini dihabiskan pada 25 Oktober mengikut kontrak yang telah dipersetujui.

Berdasarkan perancangan awal, Thai League 1 akan bersambung semula pada bulan September 2020 dan berakhir pada bulan Mei 2021. Jika mereka menuruti permintaan TrueVisions, setiap pasukan perlu beraksi dalam 3 perlawanan dalam tempoh seminggu.

“FAT sebagai penganjur semua pertandingan profesional di negara ini ingin mengetahui sama ada semua kelab sudah bersedia untuk beraksi dalam musim ini atau tidak.

“Jika mereka mahu bersaing, mereka perlu memaklumkan kepada kami dalam tempoh 7 hari selepas menerima surat rasmi,” kata Somyot dalam Bangkok Post.

FAT
Presiden FAT, Somyot Poompunmuang. (Dok. FAT).

Somyot juga menjelaskan jika pasukan memilih untuk menyambung semula musim ini, ia bermakna mereka akan menerima jumlah subsidi yang sedikit daripada FAT.

“Disebabkan oleh wabak pandemik COVID-19, bola sepak Thailand dan semua pihak yang terlibat telah terjejas. Larangan ketat daripada kerajaan bermakna kami tidak boleh menganjurkan perlawanan bola sepak dan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Ekonomi telah merosot menyebabkan pihak penaja telah menukar polisi mereka dan mengurangkan jumlah bayaran penajaan. Ini turut menjejaskan sumber pendapatan FAT dan beberapa kelab telah menghadapi masalah kewangan,” katanya.

Berdasarkan perkongsian daripada pemerhati bola sepak Thailand, Paul Murphy melalui laman twitternya, pihak TrueVisions dilaporkan sedia melanjutkan kontrak mereka dengan FAT sehingga disember dengan syarat saingan liga dihabiskan pada tahun ini.

Malah, lebih 50 peratus kelab Thai League memilih untuk menamatkan saingan liga pada bulan disember kerana mereka amat memerlukan wang hak penyiaran daripada TrueVisions.

Namun, masalah sebenar mereka ialah beraksi dalam 3 perlawanan dalam tempoh seminggu pasti membebankan pasukan kerana kebanyakan kelab Thai League sudah menamatkan kontrak dengan pemain import masing-masing.

Sekatan perjalanan dan penutupan sempadan akibat penularan wabak pandemik menyebabkan mereka sukar untuk mencari pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan.

“Kami akan bercakap dengan semua wakil pasukan. Kalau mereka sanggup beraksi lebih banyak perlawanan dalam seminggu, saingan liga musim ini mungkin sempat dihabiskan sebelum tahun depan.

“Keputusan ini bergantung pada kelab masing-masing. Liga musim 2020 akan berakhir jika setiap pasukan beraksi dalam 3 perlawanan seminggu,” tambah Somyot.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Kerana Gaji Terlalu Tinggi, SC Heerenveen Tidak Sambung Kontrak Doan Van Hau

Tiga Pemain Naturalisasi UAE Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan

Chanathip Percaya Akira Nishino Mampu Bawa Thailand Rampas Takhta “Raja” Asia Tenggara