Kelab penyokong bola sepak Kelantan dikhabarkan semakin hampir untuk mengambil alih tugas menguruskan skuad The Red Warriors daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Menurut Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, proses pengambilalihan syarikat swasta yang mengendalikan tiga pasukan iaitu skuad Liga Perdana, skuad bawah 21 tahun dan juga 19 tahun Kelantan sedang dilaksanakan ketika ini.

“Dalam proses pengambilalihan ini, ia sebenarnya satu langkah peralihan daripada pengurusan lama kepada pengurusan baharu untuk mengendalikan pasukan Kelantan.

“Salah seorang Ahli Lembaga Pengarah yang baru dalam Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd ialah Syed Abdullah Syed Mahmodd. Beliau merupakan ketua Kelab Penyokong Persatuan Bola Sepak Kelantan,” kata Bibi kepada Sukan Sinar.

Setelah MyInspiration Sdn Bhd, yang mempunyai kepentingan sebanyak 70% dalam KRW Sdn Bhd membatalkan perjanjian dengan KAFA kerana sikap tidak profesional persatuan tersebut, Syed Abdullah kemudiannya tampil dan menyatakan kelab penyokong sedia untuk menggalas tanggungjawab dengan menguruskan pasukan.

Menurut Syed Abdullah, kelab penyokong sudah arif dengan perkembangan bola sepak Kelantan dan mereka juga mampu untuk mengendalikan pasukan jika diberikan peluang serta kepercayaan untuk berbuat demikian.

Persoalan yang berlegar di minda ramai pihak ketika ini hanya satu. Jika proses pengambilalihan yang sedang berlangsung ketika ini berjalan lancar dan kelab penyokong mempunyai kuasa mutlak untuk mengendalikan pasukan Kelantan, mampukah mereka melangsaikan hutang sekaligus mengukuhkan kantung kewangan persatuan ?

Krisis kewangan merupakan masalah utama yang melanda Kelantan sejak tahun 2014 dan tiada jalan keluar yang berjaya ditemui bagi menyelesaikan perkara ini.