Kelan penyokong Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berminat untuk menerajui Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd setelah ketua pegawai eksekutif badan tersebut, Ahmad Fazli Mohammad meletak jawatan minggu lalu.

Perkara itu disuarakan oleh ketua kelab penyokong, Syed Abdullah Syed Mahmood yang mempunyai keyakinan kelab peminat mampu untuk menguruskan pasukan dengan baik jika diberi peluang.

“Pemain ke-12 memang arif dengan perkembangan bola sepak negeri ini. Malah kepakaran beberapa tokoh korporat dan usahawan dari negeri ini turut ditagih untuk membantu memulihkan kembali reputasi The Red Warriors (TRW) musim ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Syed Abdullah, pasukan Kelantan perlu segera dibaik pulih bagi memastikan bekas juara Liga Super dan Piala Malaysia mendapat semula kepercayaan peminat yang kian rapuh kerana isu yang melanda KAFA serta KRW.

“Skuad TRW perlu segera dipulihkan demi mengembalikan keyakinan peminat selepas mengalami kesuraman prestasi akibat kemelut dalaman KAFA dengan KRW, ” tambahnya.

Minggu lalu, Ahmad Fazli membuat kejutan apabila beliau memutuskan untuk meletak jawatan sebagau ketua pegawai eksekutif KRW Sdn Bhd kerana kecewa dengan sikap tidak profesional KAFA berhubung peralihan kuasa untuk mengendalikan pasukan.

Baik KAFA mahupun KRW perlu segera mencari jalan penyelesaian agar segala permasalahan yang berlaku ketika ini tidak memberi kesan terhadap prestasi pasukan dalam saingan Liga Perdana. Idea untuk membenarkan kelab penyokong mengambil bahagian dalam pengurusan pasukan boleh dipertimbangkan sekiranya ia membantu untuk mengurangkan beban yang ditanggung.