Wuhan, bandar yang menjadi tempat lahirnya wabak pandemik COVID-19 telah mencatatkan 2,788 orang yang meninggal dunia.

Situasi itu menyebabkan pemain daripada sebuah kelab Liga Super China yang berpusat di bandar tersebut, Wuhan Zall tidak dapat pulang ke negara mereka selama dua bulan setelah menjalani latihan pra musim di Sepanyol sejak bulan Januari 2020.

Malah, salah seorang daripada pemain kelab itu kehilangan ahli keluarga disebabkan oleh wabak Coronavirus. Ini merupakan detik yang paling sukar bagi kelab tersebut dan ia menganggu emosi para pemain.

Sebagai memberi kata-kata semangat dan tanda sokongan kepada mereka, pihak La Liga minggu lalu telah menjemput para pemain kelab itu untuk menonton perlawanan ‘El Clasico’ diantara Real Madrid menentang Barcelona bagi menghilangkan rasa sedih mereka.

Selepas itu, mereka akan kembali semula ke Selatan Sepanyol untuk menjalani latihan sehingga akhir bulan Mac memandangkan saingan Liga Super China ditangguhkan sehingga tarikh yang tidak dapat diberitahu kerana wabak coronavirus tidak menampakkan tanda berkurangan.

“Ketakutan yang tidak dikenali nyata selalu wujud. Saya faham mereka jadi pendiam sejak datang ke Sepanyol. Tetapi mereka tidak ada masalah bersama pasukan untuk berada di sini,” kata ketua jurulatih Wuhan Zall, Jose Gonzalez.

Bagi mengurangkan rasa gelisah dan kerisauan pemain terhadap situasi di China, beliau telah memberi cuti rehat selama 10 hari kepada pemain untuk bersiar-siar di sekitar Sepanyol.

“Saya secara jujur cuba untuk bercerita mengenai perkara itu (coronavirus). Kerana mereka telah bercakap mengenainya sepanjang masa, di bilik mereka sempat menelefon saudara mara mereka di sana.

“Saya tidak mahu ungkitkan tentang itu setiap kali saya melihat mereka. Saya cuba menjadikan sesi latihan sebagai keseronokan yang mungkin dapat mengembalikan semula senyuman mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Gonzalez kagum dengan sikap profesional pemainnya yang tidak campur aduk masalah peribadi dengan bola sepak.

“Mereka telah berlatih tanpa mengetahui bila liga akan mula, ditambah pula dengan masalah keluarga bila balik ke rumah. Ia nampak mudah untuk lari dari kerjaya anda, amat mudah, tetapi mereka telah memberi satu pengajaran hebat terutamanya dalam sikap profesionalisme.

“Sikap mereka terpuji. Saya tidak rasa kebanyakan kami akan bertindak cara serupa dalam satu situasi begini.

“Mereka telah keluar dari rumah untuk lebih daripada dua bulan, mereka tidak dapat menikmati perayaan Krismas bersama keluarga, dan keluarga mereka dikunci di rumah dan tidak boleh menjalani kehidupan yang normal. Itu menjejaskan mereka dari segi psikologi,” cerita Gonzalez seperti dipetik dalam Japan Times

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus di China sehingga menjejaskan beberapa aktiviti bola sepak. 

Liga Super China Musim 2020 Ditangguhkan Kerana Wabak Coronavirus

Kejohanan Meizhou Hakka Cup Dibatalkan, Chonburi FC Terpaksa Pulang Semula Ke Thailand

RASMI: AFC Ubah Jadual 3 Perlawanan Pertama AFC Champions League Akibat Isu Coronavirus Di China

TERKINI: Selangor Batal Sertai Kejohanan Jemputan Meizhou Hakka Cup Di China