Nama Haykal Danish semakin meningkat naik selepas beliau membantu skuad B-19 tahun negara memenangi saingan Piala AFF B-19 tahun yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Menurut perkongsian Onefootball.my di laman media sosial Twitter, salah sebuah kelab Liga Super telah berjaya mendapatkan khidmat pemain itu bagi beraksi bersama mereka pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Pada saingan Piala AFF B-19 tahun, Haykal menyumbang satu gol ketika pasukan negara menewaskan Vietnam di peringkat separuh akhir dengan keputusan 3-0 sekaligus mara ke pentas final bertemu dengan pasukan Laos.

Meskipun sering dijadikan sebagai super sub oleh ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras, namun pemain berusia 17 tahun itu sentiasa memberikan impak positif untuk pasukan negara apabila dimasukkan dengan gerakan pantas dan juga kawalan bola yang sangat baik.

Masih belum diketahui pasukan mana yang berjaya mendapatkan khidmat Haykal Danish namun menurut khabar angin yang beredar di laman media sosial, pasukan tersebut mempunyai pasukan pembangunan atau feeder team yang mengumpulkan pemain-pemain muda.

Ketua jurulatih pasukan senior negara, Kim Pan-gon dikhabarkan bakal memanggil beberapa pemain dari skuad B-19 tahun untuk menyertai kem latihan pusat skuad utama pada September ini.

Haykal antara pemain yang berpotensi untuk dipanggil selain pemaik lain seperti Najmudin Akmal, Aysar Hadi dan Faiz Amer Runizar.

Pasukan negara akan menghadapi siri perlawanan persahabatan antarabangsa pada September ini sebagai persiapan menjelang saingan Piala AFF Mitsubishi Electric dan juga temasya Piala Asia yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

Pan-gon dijangka memanggil sebahagian besar pemain yang beraksi ketika saingan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada Mei lalu dan bakal memanggil muka baharu bagi menggantikan pemain yang tidak menampilkan aksi terbaik ketika aksi peringkat kelayakan.

Masih belum diketahui pasukan mana yang akan menjadi lawan Malaysia namun dikhabarkan pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia di Ranking FIFA akan menjadi lawan kepada skuad Harimau Malaya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

FAM Umum Senarai 28 Pemain Muda Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-16

Christophe Gamel Sedia Isi Jawatan Ketua Jurulatih Skuad B-23 Malaysia

Pemain Dari Skuad B-19 Tahun Bakal Dipanggil Sertai Pasukan Senior