Prestasi cemerlang pemain pertahanan kiri Indonesia, Pratama Arhan ketika dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 minggu lepas dilaporkan telah menarik minat beberapa kelab dari Korea Selatan untuk mendapatkan khidmatnya.

Walaupun tiada pengumuman rasmi, media dari Korea Selatan, Footballost.co.kr turut menyebut beberapa kelab K-league sedang menimbang untuk mendapatkan khidmat pemain yang berusia 20 tahun itu.

Hal ini kerana saingan Piala AFF 2020 disiarkan secara langsung di Korea Selatan melalui saluran SBS sekaligus memberi peluang kepada pencari bakat K-League untuk menonton aksi pemain Indonesia.

Malah, PSIS Semarang turut mengakui pemainnya, Pratama Arhan diminati oleh kelab K-League 1, Seongnam FC. CEO PSIS Semarang, Yoyok Sukawi sedia melepaskan pemainnya jika ada kelab dari luar negara membuat tawaran rasmi.

“Kelab luar negara yang minat dengan Arhan ini banyak. Dari Eropah ada dan Asia ada. Namun itu tadi, PSIS akan berhati-hati menjaga asetnya dan akan melakukan langkah profesional kalau memang benar ada yang serius dengan Arhan.

“Saya sempat berbincang dengan Shin Tae-yong mengenai minat dari kelab Korea kepada Arhan. Kalau ada kelab Jepun atau Korea Selatan yang berminat, saya sendiri akan hantar Arhan ke sana,” kata Yoyok ketika dihubungi oleh Tempo.

Difahamkan Pratama Arhan masih mempunyai baki kontrak sehingga bulan Disember 2023 bersama kelab tersebut. Namun, Yoyok menegaskan hanya melepaskannya kepada kelab luar negara bukan kelab dari Indonesia.

“Boleh juga kalau ada kelab eropah seperti Egy Maulana atau Witan Sulaeman yang tertarik, tapi kalau hanya kelab Liga 1 Indonesia yang berminat, kami akan pertahankan Arhan mati-matian,” ujar Yoyok.

Selain Seongnam FC, Pratama Arhan turut dikaitkan dengan perpindahan ke Daejeon Hana Citizen yang beraksi dalam saingan divisyen 2. Indonesia ketika ini hanya mempunyai seorang pemain yang beraksi di sana iaitu Asnawi Mangkualam bersama Ansan Greeners.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Undian Kelayakan Piala Asia 2023 Akan Berlangsung Pada Februari 2022

Jurulatih Singapura Letak Jawatan Selepas Gagal Bawa Pasukan Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

Alexandre Polking Sasar Kejayaan Di Peringkat Lebih Tinggi