Musim baharu saingan Liga Korea (K-League) belum pun bermula namun 12 kelab divisyen 1 dan 10 kelab divisyen 2  kini berdepan masalah kewangan yang serius selepas wabak pandemik COVID-19 melanda negara tersebut.

Tiada perlawanan bermakna mereka setakat ini tidak mempunyai pendapatan dari segi kutipan tiket. Malah, para penyokong juga membatalkan pass bermusim mereka dan tiada siapa mahu menempah bilik korporat mewah di stadium yang biasanya dikhaskan untuk golongan VIP.

Menurut laporan daripada Korea Times, mereka juga mempunyai masalah untuk mendapatkan penajaan bagi meneruskan saingan pada musim ini.

“Semua perbincangan mengenai bakal penaja telah dihentikan. Syarikat itu memberitahu kami, mereka akan membayar kurang daripada apa yang dirancang.

“Tetapi jika kita mempunyai musim yang lebih pendek, saya fikir ia tidak dapat dielakkan, kita akan mendapat bayaran yang sedikit daripada mereka,” kata salah seorang daripada pegawai pemasaran kelab K-League 1.

Pada awalnya saingan K-League 1 dijadualkan berlangsung pada 29 Februari namun peningkatan kes COVID-19 memaksa badan pengendali liga menangguhkan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Namun, semua kelab itu bersetuju dengan langkah memendekkan jumlah perlawanan daripada 38 perlawanan kepada 32 perlawanan.

Walaupun sebahagian daripada kelab K-League mempunyai sokongan kewangan daripada syarikat koporat namun kebanyakannya masih dimiliki oleh kerajaan di setiap bandar.

Lebih menyedihkan, pasukan yang berjaya menjual pass bermusim sehingga habis terpaksa membayar ganti rugi kepada penyokong  yang telah membuat keputusan untuk membatalkan pass bermusim atau menawarkan bayaran separuh harga jika saingan musim ini dipendekkan.

“Kami telah hentikan jualan pass bermusim ketika ini. Kami bersedia untuk menawarkan pemegang tiket semasa kami beberapa bayaran balik, bergantung pada tempoh musim ini,” kata petugas jualan tiket kelab K League.

Beberapa kelab di dunia melaksanakan pemotongan gaji bagi menyelamatkan kantung kewangan mereka. Berbeza dengan kelab K-League, mereka tetap membayar gaji pemain kerana belum menghadapi sebarang perlawanan.

“Pemain ini telah berlatih sejak awal tahun ini dan sukar untuk mengurangkan gaji mereka. Kami belum menamatkan kontrak mereka dan kami akan terus membayar gaji mereka,” kata staff kelab K-League.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Ramalan Arsene Wenger Kini Menjadi Kenyataan, Nguyen Tuan Anh Pemain Paling Berbakat Di Mata ‘Le Professeur’

Son Heung-min Sertai Kem Latihan Tentera Selama Empat Minggu

8 Buah Kelab Thai League Miliki ‘In-House Production’ Jersi, ‘Freedom’ Hasilkan Produk Mengikut Demografik