Pemain Thailand terus menjadi idaman kelab yang beraksi dalam saingan Liga Jepun dimana ada satu kelab yang dikhabarkan berminat dengan salah seorang pemain pasukan negara tersebut iaitu Kritsada Kaman.

Perkara ini dikongsikan oleh J. Football Now di laman media sosial Twitter dimana berita mengenai kelab Jepun yang berminat untuk mendapatkan khidmat Kritsada diumumkan oleh pengurus besar Chonburi iaitu Sasit Singtothong.

“Ketika ini ada satu kelab Jepun yang berminat untuk mendapatkan khidmat Kritsada secara pinjaman. Akan tetapi, sekiranya beliau berhijrah, maka lebih baik beliau pergi secara tetap. Saya sudah memberitahu kelab tersebut. Sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas,” kata Sasit.

Kritsada Kaman menjadi salah seorang pemain terbaik Thailand ketika pasukan itu memenangi saingan Piala AFF Suzuki 2020 dengan menewaskan Indonesia di pentas akhir pada awal tahun ini sekaligus meraih kejuaraan keenam dan menjadi pemenang terbanyak dalam sejarah kejohanan dwi tahunan itu.

Mampu beraksi di posisi pertahanan tengah dan pemain tengah bertahan, pemain berusia 23 tahun itu turut dilantik sebagai pemangku ketua pasukan bersama Chonburi yang menamatkan saingan Thai League 1 di tangga ke-7.

Sebelum ini, juara Thai League 1, Buriram United bersetuju untuk meminjamkan salah seorang pemain bintang mereka, Supachok Sarachat kepada kelab Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo.

Menurut laporan Thai League Central, Buriram dan Hokkaido dilaporkan telah mencapai kesepakatan dan urusan mengenai perpindahan Supachok dalam selesai sekurang-kurangnya pertengahan bulan ini.

Sebelum ini, Buriram dikhabarkan mahu melepaskan Supachok dan adiknya, Suphanat Mueanta secara bersamaan dan Consadole dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk membawa masuk kedua-dua pemain.

Consadole sudah lama dikaitkan dengan Supachok dan Suphanat setelah mereka kehilangan pemain bintang pasukan, Chanathip Songkrasin yang berhijrah dengan menyertai juara Liga Jepun musim lalu iaitu Kawasaki Frontale.

Kawasaki Frontale membayar yuran perpindahan sebesar JPY500 juta atau RM18.17 juta bagi mendapatkan khidmat Chanathip sekaligus menjadi antara perpindahan termahal dalam saingan Liga Jepun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Keisuke Honda Anggap Beraksi Di Sukan SEA Bukan Satu Perkara Mudah

Peminat Tolak Gonzalo Cabrera Jadi Pemain Naturalisasi

FAM Umum Jualan ‘Tiket Kombo RM100’ Aksi Kelayakan Piala Asia 2023