Kelab Indonesia, Persis Solo akan mengadakan kem latihan pusat sekaligus mengadakan perlawanan persahabatan menentang juara Liga Super 2022 iaitu Johor Darul Taโ€™zim (JDT).

Perkara ini diumumkan oleh Persis menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana mereka menerima jemputan yang dihantar oleh Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards pada 4 November lalu.

Selain mengadakan kem latihan dan menentang skuad Harimau Selatan, Persis Solo mahu mempelajari cara JDT mengelola kelab dari segi infrastruktur, sistem akademi dan juga pengurusan pasukan.

โ€œDengan pencapaian yang telah diraih JDT baik di peringkat domestik dan Asia dalam dekad terakhir, Laskar Sambernyawa menganggap ada banyak hal yang kami boleh pelajari terkait pengurusan pasukan secara profesional dalam dunia bola sepak moden.

โ€œSeramai 26 pemain dan pegawai pasukan akan bertolak ke Johor dimana setibanya di sana, kami akan terus mengadakan kem latihan dan menjalani dua perlawanan persahabatan,โ€ dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Ketua jurulatih pasukan, Leonardo Medina menyambut baik perkara ini dimana beliau mahu memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik sekaligus boleh memperkuatkan pasukan dengan turun menentang pasukan terbaik di rantau ini.

โ€œJDT adalah salah satu kelab terbesar dan berpengaruh di Asia. Kemampuan mereka untuk muncul sebagai juara Liga Super dengan kombinasi pemain asing dan tempatan adalah sesuatu yang boleh dijadikan sebagai contoh,โ€ kata Leonardo.

Salah seorang pemilik Persis ialah anak bongsu kepada presiden Indonesia, Joko Widodo iaitu Kaesang Pangarep dimana beliau juga memegang peranan sebagai pengerusi kelab.

Pada masa yang sama, Persis diperkuatkan oleh bekas penyerang import JDT iaitu Fernando Rodriguez yang menyertai pasukan sebelum saingan Liga 1 Indonesia musim 2022/2023 membuka tirai.

Dalam carta Liga 1, Persis ketika ini menduduki tangga ke-14 dengan kutipan 11 mata selepas menghadapi 11 perlawanan.

Saingan Liga 1 ketika ini dihentikan buat sementara waktu ekoran tragedi tembakan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa tempatan di Stadium Kanjuruhan ketika perlawanan antara Persebaya menentang Arema yang menewaskan 132 penonton yang hadir ke stadium.