Kelab dari divisyen 2 Liga Indonesia, Rans Cilegon FC bakal berangkat ke Turki untuk menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi musim baharu.

Lebih menarik, mereka turut menerima undangan daripada kelab gergasi Turki, Fenerbahce untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Selain Fenerbahce, Rans Cilegon juga akan menentang Konyaspor yang beraksi di liga divisyen utama.

“Rans Cilegon FC akan menjalani latihan pusat di Turki dengan menggunakan fasiliti standard FIFA. Selain itu, pasukan juga akan menentang dua kelab Turki dan salah satunya adalah Fenerbahce,” kata kenyataan daripada wakil kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Turki, Begum Sahin.

Rans Cilegon FC merupakan kelab milik artis popular Indonesia iaitu Raffi Ahmad. Segala perbelanjaan mereka ke sana dibiayai oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Turki dengan kerjasama Turkish Airlines.

Selain diundang menjalani latihan dan menghadapi perlawanan persahabatan, kelab tersebut juga mempunyai misi untuk memperkenalkan destinasi pelancongan di Indonesia kepada rakyat Turki.

Mereka akan bertolak malam ini dan berada di Turki sehingga 26 Ogos 2021. Pemilik kelab, Raffi menjelaskan tujuan mereka ke sana adalah untuk menguji kekuatan pemainnya tanpa mengira keputusan perlawanan.

“Awalnya, kami tidak menyangka kerana belum ada kelab dari Liga 2 yang diundang oleh pasukan luar negara (eropah). Apalagi, menentang finalis Super Liga musim lalu iaitu Fenerbahce,” katanya dalam sidang media.

Raffi menyifatkan undangan ini merupakan satu penghormatan kepada kelabnya dan membukti keseriusan pihak pengurusan untuk membangunkan pasukan itu menjadi pasukan terbaik Indonesia.

“Kami menyedari hubungan ini sebagai bentuk komitmen, bahawa kami ingin secara serius membangun Rans Cilegon FC menjadi kelab bola sepak terkemuka yang dapat membuat Indonesia bangga di arena antarabangsa,” jelas Raffi.

“Kami tidak mahu menang atau kalah, tetapi kami akan melakukan yang terbaik,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Portal Sukan Turki Ini Kaitkan Perpindahan Radamel Falcao Ke JDT Sejak 10 Hari Yang Lalu

RASMI: Jorge Pereyra Diaz Sah Sertai Kerala Blasters Dalam Saingan India Super League Musim 2021/2022

Park Hang-seo Ada 6 ‘Assistant’ Dari Korea Selatan Demi Persiapan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022