Salah satu kelab yang beraksi dalam saingan Liga Denmark, Odense akan menguji dua pasukan Liga Malaysia iaitu Sabah dan Terengganu dalam satu siri perlawanan persahabatan yang akan diadakan di Thailand.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman web rasmi pasukan dimana selain turun menentang Sabah dan Terengganu, Odense juga akan beraksi menentang salah satu kelab divisyen dua Liga Thailand iaitu Nakhon Pathom United.

“Pengembaraan baharu menanti The Stripes apabila kem latihan musim sejuk akan berlangsung di Thailand dimana pemain akan berlatih dan bermain perlawanan ujian di Bangkok sebagai persediaan untuk perlawanan liga yang akan datang.

“Perlawanan persahabatan akan berlangsung di fasiliti yang terletak di utara Bangkok yang dipanggil Pusat Latihan BG, yang merupakan pusat latihan kepada kelab Liga 1 Thai BG Pathum United.

“Di sini dua daripada tiga perlawanan persahabatan akan dimainkan, apabila kita bertemu Sabah dari Malaysia dan Nakhon Pathom United dari Thailand, manakala perlawanan menentang Terenggaunu dari Malaysia akan dimainkan di Stadium BG Pathum,” dipetik daripada kenyataan pihak kelab.

Selain daripada mengadakan perlawanan persahabatan, Odense juga akan mengadakan satu klinik bola sepak untuk anak-anak tempatan, di mana mereka akan berpeluang berlatih bersama pemain dan mendapatkan autograf dan swafoto bersama idola mereka.

Ketika ini, Odense menduduki tangga kelima dalam carta Danish Superliga dimana mereka mengutip 24 mata selepas mengharungi 17 perlawanan sepanjang musim.