Baru-baru ini, juara Liga Super musim 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan mereka dipilih sebagai rakan kongsi kepada UNICEF sekaligus menjadi kelab yang pertama Asia bekerjasama dengan sebuah organisasi terkemuka dunia itu.

Perkara ini diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam sidang media hari ini. Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Dr Rashed Mustafa Sarwar yang merupakan wakil UNICEF, Malaysia dan Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Selain bekerjasama dengan JDT, UNICEF turut menjalin kerjasama dengan beberapa kelab ternama lain dan juga badan sukan lain bagi menyampaikan mesej penting, menggerakkan komuniti dan yang paling penting memastikan perkembangan jangka panjang untuk kanak-kanak, keluarga dan komuniti.

Antara kelab bola sepak ternama yang bekerjasama dengan UNICEF ialah gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United (sejak 2004), kelab La Liga Sepanyol, FC Barcelona dan kelab dari Liga Greece, Olympiacos (sejak 2013).

Selain itu, UNICEF turut menjalin kerjasama dengan Gothia Cup, sebuah kejohanan bagi pemain akar umbi dimana kedua-dua pihak melancarkan kempen Sweat for Water. Badan tersebut juga mengadakan kerjasama dengan Special Olympic, sebuah temasya bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kerjasama ini sudah terjalin sejak 2007.

Dua lagi badan yang menjalin kerjasama dengan UNICEF ialah International Cricket Council (ICC) dan UNAIDS, sebuah badan bersama yang ditubuhkan bagi mengkaji penyakit HIV/AIDS.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

JDT Umum Kerjasama Dengan UNICEF, Kini Sebaris Dengan Barcelona Dan Manchester United

Kedah Darul Aman FC Keluarkan Kenyataan Rasmi Berkaitan Isu Pemilihan Logo Baharu Pasukan

Pulau Pinang Cabar Perak Dapatkan Khidmat Hadin Azman