Kelab yang beraksi dalam saingan Saudi Pro League, Al-Shabab dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang skuad kebangsaan Argentina, Mauro Icardi menjelang saingan musim 2022/2023.

Perkara ini dikongsikan oleh Asian Football di laman media sosial Twitter dimana Icardi menjadi salah satu pemain yang akan dijual oleh kelabnya ketika ini, Paris Saint-Germain bagi memberi laluan kepada pemain baharu yang akan dibawa masuk.

Al-Shabab menamatkan saingan Saudi Pro League musim 2021/2022 di tangga keempat dengan kutipan 55 mata dan mereka ketika ini mempunyai dua pemain dari Argentina iaitu Ever Banega dan juga Luciano Vietto yang beraksi bersama pasukan.

Pihak kelab meminta bantuan Banega untuk memujuk Icardi bagi menyertai pasukan itu memandangkan kedua-dua pemain pernah beraksi bersama ketika mewakili Argentina dan juga bersama Inter Milan beberapa musim lalu.

Mauro Icardi gagal untuk menembusi kesebelasan utama PSG musim lalu setelah Lionel Messi menyertai pasukan itu dari Barcelona secara percuma sekaligus melengkapkan trio bersama dua lagi pemain iaitu Neymar dan Kylian Mbappe di bahagian serangan.

Selain Icardi, pemain lain yang berada dalam senarai untuk dijual ialah Georginio Wijnaldum yang menyertai pasukan dari Liverpool musim lalu, Leandro Paredes yang menjadi sasaran Manchester United, Thilo Kehrer, Julian Draxler, Abdou Diallo, Idrissa Gueye, Layvin Kurzawa, Ander Herrera, Danilo Pereira dan Eric Junior Dina Ebimbe.

Akan tetapi, PSG berdepan kesukaran untuk menjual pemain di atas kerana rata-rata daripada mereka menerima gaji yang berjumlah enam angka setiap minggu menyebabkan kelab lain yang berminat untuk membeli tidak mampu untuk menampung mereka.

Sebelum ini, PSG memecat pengurus pasukan iaitu Mauricio Pochettino kerana gagal memenuhi sasaran iaitu memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu dimana mereka tewas kepada pasukan juara, Real Madrid di peringkat 16 pasukan terakhir.

Pengurus OGC Nice, Christophe Galtier dilantik sebagai pengganti setelah membantu Nice menamatkan saingan Ligue 1 musim lalu di tangga ke-5 sekaligus layak ke pusingan kelayakan UEFA Conference League.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

AFF B-19 2022: Laos Pastikan Skuad Muda Negara Hampa

AFF B-19: Indonesia Gagal Ke Separuh Akhir, Ketum PSSI Mahu Hantar Bantahan Rasmi

Miliki Dadah, Bekas Pemain Skuad Kebangsaan Ditahan Polis