Kelab yang beraksi dalam saingan 2. Bundesliga, FC Koln mahu bekerjasama dengan pemenang Piala Dunia 2014, Lukas Podolski apabila pemain itu bersara daripada kancah bola sepak profesional.

Perkara ini disahkan oleh Presiden Koln, Werner Wolf dimana pihak kelab telah mengadakan perbincangan dengan Podolski mengenai tugas yang akan disandang oleh bekas pemain Vissel Kobe itu.

“Lukas merupakan idola untuk semua generasi peminat FC Koln. Kami mahu menggunakan karisma serta cinta beliau terhadap kelab untuk menggerakkan kami ke hadapan,” kata Werner.

FC Koln
Werner Wolf, Presiden FC Kol. Sumber Gambar: Ngelmu.co

Podolski merupakan graduan FC Koln dimana kali terakhir pemain berusia 34 tahun itu beraksi bersama Koln pada musim 2012 sebelum beliau berhijrah ke saingan Liga Perdana Inggeris dengan menyertai Arsenal. Ketika menyarung jersi Koln, Podolski telah menjaringkan 86 gol dalam 181 penampilan.

“Kami telah mengadakan satu perbincangan terbuka dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kelab. Saya tidak sabar untuk mula bekerja dan melihat bagaimana saya mampu untuk membantu kelab ini. Koln pernah dan masih lagi menjadi rumah kepada saya,” kata Podolski.

FC Koln
Sumber Gambar: Pinterest

Setelah meninggalkan Vissel Kobe, masih belum jelas destinasi seterusnya bagi Lukas Podolski. Beliau pernah dikaitkan dengan perpindahan ke juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim dimana baru-baru ini beliau melawat pusat latihan JDT.

Namun, kelab Turki, Antalyaspor dikhabarkan menjadi destinasi pilihan Podolski kerana beliau mahu kembali beraksi di Eropah.

Baca artikel lain mengenai Lukas Podolski di sini:

Vissel Kobe Lepaskan Lukas Podolski, JDT Mungkin Jadi Destinasi Seterusnya

Lukas Podolski Lawat Fasiliti Pasukan Johor Darul Ta’zim, Kevin Ramalingam Turut Kelihatan Di Meja Perbincangan

Pemenang Piala Dunia 2014, Lukas Podolski Berminat Sertai Johor Darul Ta’zim