Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar menganggap rekod kekalahan 1-2 di tangan Pahang pada pentas CIMB Liga Super tidak menggusarkan skuad Helang Merah dengan menyifatkan pentas TM Piala Malaysia sebagai satu medan berbeza buat semua pasukan.

Apa yang penting, Baddrol melihat mereka boleh menjadikan pengalaman dalam perlawanan berkenaan untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan agar pisang tidak berbuah dua kali apabila kedua-dua pasukan bakal berentap di pusingan pertama TM Piala Malaysia, Jumaat ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Selain itu, Baddrol mengakui pertembungan dengan Pahang ini ibarat mengimbau memori separuh akhir Piala Malaysia musim lalu yang memperlihatkan antara persaingan paling sengit dalam sejarah pertandingan apabila terikat 8-8 secara agregat namun Kedah layak berdasarkan jaringan di laman lawan.

“ Kekalahan tempoh hari dalam Liga Super bagi saya ibarat satu pengajaran berguna kepada Kedah kerana kami terlepas peluang bagi merapatkan jurang dengan pendahulu, JDT ( Johor Darul Ta’zim).

“ Jadi, semua pemain kena harus mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi serta memperbaiki segala kekurangan agar tidak terjadi sekali lagi kerana kami wajib menang dalam perlawanan ini.

“ Tiada tekanan sebenarnya kepada Kedah dan harapan saya pasukan dapat kekalkan momentum seperti aksi kami sebelum-sebelum ini walaupun berdepan Pahang benar-benar mengingatkan aksi di separuh akhir pada musim lepas.

“ Satu lagi harapan saya tiada mana-mana pemain mengalami sebarang kecederaan dan sempat pulih sebelum turun dengan Pahang kerana kami memerlukan semua pemain terbaik yang dimiliki pasukan,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung pada 26 September lalu di Stadium Darul Makmur, Kedah terlebih dahulu berada di depan menerusi Kipre Tchetche pada minit 15 sebelum Pahang dapat memenangi perlawanan itu melalui gol Adam Reed pada minit-41 serta Nik Sharif Haseefy pada minit-46.

Kedah yang merupakan finalis musim lalu berdepan laluan sukar jika mahu mengulangi sejarah musim lalu kerana bakal berdepan pemenang Selangor dan Melaka jika layak ke suku akhir manakala Terengganu FC, Perak, PJ City atau Kelantan United menjadi lawan di separuh akhir.

Dalam pada itu, Baddrol mendedahkan pasukan musim ini ternyata lebih baik dan konsisten jika hendak dibandingkan dengan musim lalu biarpun terpaksa melalui pelbagai masalah di pertengahan musim.

Kehadiran Kipre selain Kpah Sherman juga menajamkan lagi jentera serangan Kedah dengan 13 gol disumbangkan oleh gandingan dua pemain daripada 20 gol pasukan Kedah.

Justeru, dia begitu yakin naib juara CIMB Liga Super itu mampu melepasi apa sahaja halangan ditambah suasana keluarga yang dapat dirasakan dalam kalangan pemain Kedah.

“ Terus terang saya cakap pasukan pada tahun ini berada di keharmonian terbaik antara pemain senior dan junior dan gabungan ini umpama seperti satu keluarga buat pasukan Kedah.

“ Semua orang tahu masalah yang kami hadapi sebelum ini tetap kami anggap itu semua sebagai satu masalah di luar padang dan kami hanya berikan tumpuan pada aksi bola sepak, “ katanya.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih dari VOCKETFC seperti dibawah ini.

Metropolitan Police FC Umum Perpindahan Keluar Junior Eldstal, Terima Kontrak Profesional Di Malaysia.

TMJ: “Menggunakan Dana Kerajaan Hanya Bermaksud Penswastaan Yang Berpura-Pura.”

“Kita Sedar Kelantan Semakin Meningkat Selepas Ada Pemilik Baru, Tetapi Apa Saja Boleh Berlaku.”